MELAKA – Keamanan dan keharmonian yang dikecapi negara khususnya negeri Melaka bukan sesuatu yang berkekalan tanpa usaha untuk mengekalkannya, kata Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob.
Beliau berkata keunikan negara dan negeri Melaka, yang mempunyai masyarakat majmuk berbagai bangsa dan keturunan, perlu dijadikan aset untuk memacu kemajuan dan mengekalkan keamanan serta keharmonian tersebut.
“Saya berharap seluruh rakyat Melaka berusaha menjaga keharmonian pelbagai kaum supaya negeri Melaka terus dalam keadaan aman,” katanya ketika berucap pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang, dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena sambutan ulang tahun ke-77 beliau di sini, Jumaat.
Tahun ini 760 orang menerima darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka, dan sesi pertama hari ini menyaksikan 35 orang menerima anugerah masing-masing.
Antara penerima pada Jumaat ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) membawa gelaran ‘Datuk Seri’; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong juga menerima DGSM dan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka membawa gelaran ‘Datuk Wira’.
Mohd Khalil turut menyeru rakyat Melaka supaya terus teguh berdiri di belakang kerajaan demi mengekalkan perpaduan, kestabilan dan keamanan dikecapi demi kepentingan bersama.
Beliau percaya kerajaan negeri Melaka sentiasa memastikan pembangunan yang inklusif sama ada bagi masyarakat di bandar atau luar bandar untuk memastikan rakyat Melaka yang berbilang latar belakang mendapat manfaat daripada pembangunan ekonomi.
“Saya juga berharap agar usaha menarik pelaburan dalam sektor teknologi hijau akan memberikan impak positif kepada kemampanan ekonomi negeri Melaka,” katanya.
Sementara itu, Mohd Khalil berkata perjanjian persefahaman yang dimeterai antara Melaka dan wilayah Guangdong, China baru-baru ini akan membuka pelbagai peluang kerjasama dalam pasaran luas kedua-dua belah pihak.
“Tahniah diucapkan kepada kerajaan negeri kerana berjaya mengukuhkan hubungan dua hala antara negeri Melaka dan negara China,” katanya. – BERNAMA

