LABUAN – Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) seluruh negara telah diarahkan untuk memperkasa program ekonomi Rukun Tetangga (RT) bagi melahirkan masyarakat usahawan.
Arahan yang dikeluarkan pada awal tahun ini kepada pengurusan tertinggi JPNIN menunjukkan keazaman dan usaha serius kerajaan dalam menyediakan ekosistem terbaik agar setiap warga dapat mengembangkan potensi dan bakat secara optimum.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata melalui usaha ini, pengkomersilan produk-produk akar umbi kawasan rukun tetangga (KRT) dapat di pasarkan secara berkesan dan meluas di pasaran domestik dan antarabangsa.
“Saya telah mengarahkan pengurusan JPNIN pada awal tahun ini yang niat kerajaan ialah mahu melahirkan masyarakat usahawan dengan penghasilan produk-produk tempatan yang bermutu dan berkualiti dengan jenama tersendiri,” katanya ketika merasmikan Program Inovasi Pemacu Perpaduan anjuran JPNIN Labuan di sini hari ini.
Katanya kerajaan akan terus memberi sokongan penuh dan komitmen ke atas usaha-usaha penghasilan produk inovasi dalam melahirkan usahawan berwibawa dan berinovasi.
Kurup berkata dalam memastikan usaha ini berjalan lancar, ketua pengarah JPNIN akan menubuhkan unik khas membantu KRT bagi mendapatkan pinjaman di institusi kewangan tempatan.
“Kepimpinan negara telah memberi perhatian serius kepada program-program inovasi dalam agenda nasional dibawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11,” katanya.
Sebanyak 50 inovasi akar umbi dipamerkan oleh 33 KRT Labuan dalam program sehari itu. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=2SO8rfx-bYw

