PUTRAJAYA – Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan ditutup akibat jerebu jika sekolah-sekolah di kawasan berkenaan diisytiharkan tutup oleh Kementerian Pendidikan, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sehubungan itu, beliau meminta pengusaha Tabika Kemas supaya sentiasa peka dengan pengumuman Kementerian Pendidikan memandangkan sesi pembelajaran dijalankan dalam kelas yang tidak berhawa dingin.
“Apabila Kementerian Pendidikan mengumumkan tentang penutupan sekolah, semua tabika di dalam kawasan yang dinyatakan secara automatik turut ditutup,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya di sini, Khamis.
Menurutnya Tabika Kemas di Johor, Pahang dan Melaka juga pernah ditutup selaras dengan arahan penutupan sekolah.
Mengenai Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) pula, Ismail Sabri berkata ia akan beroperasi seperti biasa cuma tanpa aktiviti luar bilik darjah berikutan jerebu.
Memandangkan MRSM melaksanakan Pendidikan Secara Asrama Penuh Berstruktur, beliau berkata adalah tidak praktikal untuk mebenarkan pelajar pulang ke rumah.
“Sebaliknya operasi dengan sesi pembelajaran boleh dijalankan secara tidak formal seperti di dalam perpusatakaan yang berhawa dingin,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Tabika Kemas akan dinaik taraf secara berperingkat mulai tahun depan terutamanya dari segi prasarana bangunan dan kemudahan pembelajaran.
Terdapat lebih 11,000 Tabika Kemas di seluruh negara dengan sebahagian daripadanya masih kekurangan kemudahan dan belum memiliki bangunan sendiri, menjadikan ia kurang kondusif untuk pembelajaran awal kanak-kanak, katanya.
Mengenai saranan pelaksanaan kaedah ‘Prime Minister Question Time’ di Parlimen, Ismail Sabri yang juga Anggota Parlimen Bera berkata ia perlu diteliti dahulu termasuk mengambil kira tugasan harian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan jadual kerja yang telah ditetapkan untuknya.
“Ada masanya perdana menteri tidak berada di dalam negara seperti menghadiri mesyuarat ASEAN yang telah ditetapkan lebih awal. Tak mungkin perdana menteri terpaksa tinggalkan mesyuarat tersebut untuk hadir menjawab soalan di Parlimen,” jelasnya.
Ismail Sabri berkata berdasarkan perjalanan Parlimen sekarang, Perdana Menteri masih menyertai sesi soal jawab terutamanya pada minggu awal persidangan dan pada hari tertentu sekiranya ada pertanyaan berkaitan Jabatan Perdana Menteri.
Selain Perdana Menteri, menteri-menteri di jabatan perdana menteri juga sentiasa hadir pada sesi persidangan bagi menjawab pertanyaan yang berkaitan Jabatan Perdan Menteri, katanya.
‘Prime Minister Question Time’ yang dilaksanakan oleh Parlimen Australia telah menarik minat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk mengetahui lebih mendalam kaedah pelaksanaannya.
Bagi slot ‘Prime Minister Question Time’, Perdana Menteri Australia meluangkan masa khas sehari dalam seminggu di Parlimen untuk menjawab pelbagai soalan yang dikemukakan anggota Parlimen. – BERNAMA




