PUTRAJAYA – Seorang pelajar dari Kuching, Sarawak menganggap dirinya bertuah kerana memiliki nama yang langsung sama dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Lebih menarik lagi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati hanya dua nama itu terdapat dalam rekodnya dan ia kebetulan mempunyai persamaan jelas dari segi nama sendiri, nama bapa dan ejaan.
Pelajar berusia 18 tahun yang ditemani ibu bapanya Hamidi Bujang, 53, dan Norhayati Eddie, 51, berkongsi pentas diraikan sendiri Ahmad Zahid pada sambutan Hari Pendaftaran Negara dan Hari Inovasi JPN 2015 di sini Khamis.
Ahmad Zahid yang dilahirkan pada 29 Mac 1997 berkata, beliau berasa bangga dengan nama yang diberikan oleh bapanya itu kerana ia memang sama dengan nama pemimpin No.2 negara berkenaan.

“Saya difahamkan, hanya nama kami sahaja yang berada dalam rekod ibu pejabat JPN,” katanya yang juga anak bongsu daripada lima orang adik-beradik.
Menurutnya, timbalan perdana menteri itu juga sempat menasihatinya supaya belajar dengan bersungguh-sungguh agar dapat menjadi seorang pemimpin negara kelak.
Hamidi, seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Petrajaya, Kuching pula berkata, beliau memilih nama itu untuk anaknya ketika Ahmad Zahid berkhidmat di Kementerian Pertahanan.
“Ahmad Zahid adalah anak kelima kami dan hanya beliau sahaja yang diberikan nama sempena dengan nama pemimpin negara,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, memberitahu sidang media bahawa beliau bangga dan teruja kerana hanya ada seorang pemilik nama sepertinya di Malaysia.
“Nama Ahmad Zahid mungkin banyak didaftarkan di Malaysia namun, tidak semua mempunyai ‘bin’ yang sama dengan saya,” katanya. – BERNAMA

