PUTRAJAYA – Seramai lima juta pelajar dan guru terlibat dalam sambutan Hari Sukan Negara di seluruh negara, hari ini, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Beliau berkata pelbagai aktiviti dijalankan di peringkat sekolah dan daerah bagi menggalakkan penyertaan bersama dalam aktivti sukan, sekali gus merapatkan hubungan rakyat tanpa mengira bangsa.
“Saya berharap hari ini akan menjadi satu permulaan untuk menerapkan budaya bersukan dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya di sekolah dan institusi pengajian tinggi,” katanya ketika melancarkan program Jalan Ria 1Murid 1Sukan di Dataran Putrajaya, di sini Sabtu.
Dalam program yang diadakan sempena Hari Sukan Negara itu, Mahdzir yang disertai Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengikuti acara senamrobik bersama 20,000 pelajar dan guru dari sekolah sekitar Putrajaya.
Beliau kemudiannya turut menyertai peserta Jalan Ria 1Murid 1Sukan dengan berjalan sejauh 4.5 kilometer.
Mahdzir berkata bagi membudayakan kecergasan di peringkat sekolah, pelbagai usaha dilakukan melalui program terancang dan berstruktur di bawah pelaksanaan dasar 1Murid 1Sukan.
“Saya berharap setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu jenis sukan di bangku persekolahan supaya mereka terus terlibat dengan sukan sepanjang hayat,” katanya.
Menurutnya aktiviti kecergasan juga dapat mengatasi masalah obesiti dalam kalangan rakyat yang menyumbang kepada masalah kesihatan yang serius.
Beliau berkata kajian menunjukkan 15 peratus daripada kanak-kanak yang berusia 12 hingga 19 tahun mempunyai masalah berat badan berlebihan.
“Saya berharap aktiviti bersukan dapat dijalankan secara berterusan kerana saya sentiasa percaya dengan ungkapan minda yang cerdas terdapat dalam badan yang cergas,” katanya. – BERNAMA

