JOHOR BAHARU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor Baharu (DM 6) menahan tiga bot nelayan tempatan kerana menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan oleh Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia di perairan Rambah, dekat Pontian, semalam.
Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Johor Baharu Kepten Maritim Aminudin Abdul Rashid berkata ketiga-tiga bot kelas B dan berpangkalan di Sungai Pontian Besar itu ditahan bot kilat APMM antara 4 petang dan 6 petang.
“Ketiga-tiga bot itu didapati menangkap ikan kurang dari lima batu nautika dari pantai. Seramai sembilan nelayan turut ditahan yang membabitkan tiga awak-awak serta tekong berumur lingkungan 30 hingga 50 tahun bagi setiap bot terbabit,” katanya menerusi kenyataan.
Aminuddin berkata terdahulu, Pusat Operasi APMM Johor Baharu terus mengarahkan bot kilat berkenaan ke lokasi ketiga-tiga bot tersebut sejurus menerima maklumat awam.
Beliau berkata ketika bot kilat menghampiri ketiga-tiga bot tersebut, didapati kesemuanya cuba melarikan diri menghala ke tengah laut bagi mengelakkan dari ditahan kerana melakukan kegiatan menarik pukat tunda di kawasan yang tidak dibenarkan.
“Tindakan pantas bot kilat seterusnya cuba menghalang dan mengarahkan bot nelayan tersebut supaya tidak mengubah lokasi iaitu jarak antara dua hingga tiga batu nautika sahaja dari pantai semasa ditahan,” katanya.
Menurut Aminuddin, hasil pemeriksaan kemudian menemui kira-kira 200 kilogram hasil tangkapan ikan daripada ketiga-tiga bot berkenaan dan APMM dimaklumkan kesemua bot itu baru sahaja keluar menangkap ikan sebelum ditahan.
Beliau berkata kesemua sembilan nelayan dan bot terbabit dibawa ke Pejabat Maritim Johor Baharu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985. – BERNAMA