TANGKAK – Seorang wanita maut selepas kereta Perodua Alza yang dipandunya merempuh sebuah lori 10 tan selepas terbabas di Km42.5 Jalan Muar-Segamat di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Ledang Supt Mohamad Salleh Abd Razak berkata wanita yang dikenal pasti sebagai Nor Hidayah Mohtar, 27, maut di tempat kejadian dalam kemalangan kira-kira 6.30 pagi itu.
“Mangsa yang datang dari arah Segamat menghala ke Muar sebelum itu dikatakan telah melanggar seekor anjing dan terbabas ke arah jalan bertentangan.
“Pemandu lori berkenaan gagal mengelak kerana jarak yang terlalu dekat sehingga berlakunya kemalangan itu,” katanya.
Mohamad Salleh berkata mayat mangsa yang berasal dari Merlimau, Melaka dihantar ke Hospital Tangkak di sini untuk bedah siasat manakala pemandu lori berusia 34 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=8XTcZk4lXh8

