SELEPAS malu besar apabila gagal ‘menumbangkan’ kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi perhimpunan haram Bersih 4.0, kali ini pembangkang cuba taktik lain pula kononnya bakal mengambil alih pemerintahan.
Terbaharu, mereka ‘mencanangkan’ satu dunia bahawa BN dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan tumbang menerusi usul undi tidak percaya yang akan dibawa ke persidangan Parlimen tidak lama lagi.
Malangnya, tanpa disedari mereka sendiri, usul itu yang mungkin nampak logik tetapi agak mustahil dilakukan buat masa ini kerana BN secara matematik mudah masih lagi menguasai majoriti kerusi di Dewan Rakyat.
Keadaan juga dijangka berubah apabila Pas yang secara terbuka tidak menyokong Bersih 4.0, kini bukan lagi sekutu pembangkang apabila Pakatan Rakyat sudah dibubarkan serta meninggalkan kelompok PKR dan DAP.
Bertambah buruk apabila ada peserta himpunan jalanan tanpa permit itu bersikap biadap pijak gambar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ini pastinya menyukarkan lagi ‘persefahaman’ kalangan pembangkang.
Baca: Isu Sabotaj BN, Azalina Cadang Ahli Parlimen Buat Deklarasi Setia
Juga: 20 MP BN Difitnah Bakal Sertai Pembangkang Guling Najib
Perkara tersebut turut disentuh serius Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman yang bertanggungjawab terhadap urusan Parlimen apabila mengulas isu usul undi tidak percaya pembangkang itu.
Secara mudah tegas beliau, usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri tidak boleh dibawa sewenang-wenangnya dalam Dewan Rakyat dan kemungkinan besar tidak mematuhi sistem peraturan Parlimen negara ini.
Lagipun, Najib selaku Pengerusi BN masih ada majoriti dalam dewan iaitu 134 kerusi berbanding pembangkang hanya 87 kerusi dan satu lagi kerusi tunggal Bebas, Tan Sri Khalid Ibrahim yang pastinya tidak pro-pembangkang.
“Mana ada, kita tidak mengikut proses sedemikian. Malaysia tidak boleh membawa usul undi seperti itu,†katanya ketika menjawab soalan wartawan selepas merasmikan Ekspo Filem Malaysia di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional mengulas hasrat pembangkang membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat ekoran isu 1MDB dan derma dana RM2.6 bilion.
Azalina berkata, usul sedemikian bukan mudah tidak seperti di negara-negara Barat kerana kerajaan di sana biasanya campuran pelbagai parti yang hanya dibentuk menerusi persefahaman ‘longgar’ selepas pilihan raya.
Katanya, mereka yang berhasrat membawa usul tersebut memerlukan majoriti dalam Dewan Rakyat dan ini bermakna pembangkang tentu kena ‘rasuah’ 23 wakil BN berpaling tadah membentuk majoriti mudah 112 kerusi.
“Kamu (pembangkang) perlu dapatkan majoriti terlebih dahulu untuk menyokong usul ini dan kena ingat, ketika ini majoriti adalah masih bersama dengan ketua dalam Dewan Rakyat iaitu Perdana Menteri,†jelas beliau lagi.
Media sebelum ini melaporkan pembangkang menyatakan hasrat untuk membawa usul undi tidak percaya pada Oktober ini sebaik persidangan Dewan Rakyat bermula selepas gagal menggulingkan BN pada 31 Ogos lalu.
Adakah ini satu lagi gimik pembangkang bagi menutup keaiban tidak berjaya menumbangkan BN menerusi Bersih 4.0 atau bahan lawak terbaharu mereka untuk ‘menipu’ rakyat Malaysia sekali lagi? – Agensi/Mynewshub/HAA