KUALA LUMPUR – Laman twitter Malaysia Airlines hari ini dimeriahkan dengan barisan mesej ucapan tahniah dan syabas oleh kalangan warga internet yang memanfaatkan #todayishere (esok bermula hari ini), sekali gus membuktikan sokongan serta harapan ramai agar syarikat penerbangan itu mampu meraih semula legasi kegemilangannya.
Seiring semangat baharu, mulai hari ini dan seterusnya, syarikat Malaysia Airlines Bhd (MAB) yang beroperasi secara rasmi hari ini akan meneruskan operasi syarikat terdahulu, Malaysian Airline System Bhd (MAS).
Setakat ini, MAB memutuskan untuk mengekalkan penggunaan logo terdahulu serta penerbangan sedia ada, jadual, tempahan mahupun operasi sambil memberi keyakinan kepada pelanggannya bahawa perubahan dalaman syarikat itu tidak akan menjejaskan operasi hariannya.
“Kita sudah berusaha gigih untuk melancarkan proses peralihan ini dan akan terus berkhidmat serta mengalu-alukan kehadiran anda dengan bangganya.
“MAB akan terus terbang dengan matlamat sama iaitu memberikan perkhidmatanpelanggan yang cemerlang dan akan mengendalikan kesemua tempahan dan tiket semasa serta masa depan dengan penuh hormat,” kata syarikat penerbangan nasional itu pada laman webnya hari ini.
Ternyata proses peralihan itu sebegitu getir dan diwarnai kontroversi kerana turut melibatkan kontrak 6,000 daripada 20,000 pekerjanya ditamatkan, seiring usaha penstrukturan semula kewangan syarikat itu.
Susulan pengumuman itu, Khazanah Nasional Bhd selaku pemegang tunggal saham MAB, bertindak mewujudkan Pusat Pembangunan Korporat (CDC) pada 1 Jun lepas yang setakat ini sudah mendaftarkan 2,907 bekas pekerja MAS.
Ia diwujudkan bagi membantu pekerja MAS menerusi penganjuran kursus latihan peningkatan kemahiran serta turut mengatur sesi temuduga bagi yang mencari tugas baharu.
Tidak kurang juga cakap-cakap atau rungutan segelintir pihak yang dilontarkan terhadap MAB kerana diterajui ‘orang asing’ – sesuatu yang amat difahami kerana sudah menjadi lumrah manusia yang gerun dan mungkin juga tidak menyenangi mereka yang tidak mereka kenali.
Namun, melihatkan rekod prestasi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu syarikat itu, Christoph Mueller, beliau adalah individu yang tepat untuk menggantikan bekas CEO MAS, Ahmad Jauhari Yahya.
Setidak-tidaknya, dua pencapaian cemerlang Mueller, adalah kejayaannya memulihkan syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa, yang dilingkari beban kewangan serta menerajui syarikat penerbangan Ireland, Aer Lingus menceburi pasaran serta model perniagaan baharu.
Mengulas sentimen rakyat Malaysia terhadap MAB, Penganalisis Penerbangan Endau Analytics, Shukor Yusof, menyifatkannya sebagai melegakan kerana rakyat tempatan terus setia menyokong syarikat penerbangan itu serta kakitangannya.
Namun, hakikatnya, lebih banyak usaha perlu dilakukan bagi memulihkan semula keyakinan masyarakat antarabangsa yang dilihat terus meragui syarikat penerbangan itu.
“Pada masa depan, ada banyak cabaran yang menunggu untuk MAB, termasuk memastikannya muncul sebagai syarikat yang berkeuntungan tanpa perlu menjual aset, mengurangkan rangkaian serta kakitangan, gaji serta tersasar daripada matlamat memberikan perkhidmatan berkualiti pada harga yang kompetitif.
“Syarikat itu (MAB) perlu menyasarkan untuk mampu memberikan perkhidmatan pelanggan yang cemerlang serta menawarkan produk yang ada nilai tambah pada setiap masa,” katanya. – BERNAMA