BESUT – Usaha menangani kes jenayah di masjid memerlukan kerjasama di kalangan jemaah kerana ia bukan sahaja tanggungjawab yang patut dipikul sendirian oleh polis.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Khaled Che Lah berkata jemaah masjid yang menjadi sasaran jenayah perlu mematuhi setiap nasihat yang dikeluarkan polis melalui penerangan dan ceramah pegawai perhubungan masjid dari semasa ke semasa.

Menurutnya jenayah seperti pecah tabung masjid, kecurian kenderaan, pecah cermin kereta untuk mencuri, khianat dan mencuri peralatan masjid memerlukan kerjasama jemaah ketika mengerjakan solat pada setiap masa.
“Indek jenayah di masjid di daerah Besut menunjukkan peningkatan iaitu daripada 21 kes pada tahun lepas kepada 34 kes bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Pegawai Perhubungan Masjid kepada 83 masjid di daerah Besut di sini hari ini.
Menurut Khaled walaupun IPD Besut telah melancarkan Program 1Polis 1Masjid (1P1M) sejak 2012 dan telah menunjukkan sedikit kejayaan tetapi sikap sambil lewa jemaah terutama yang datang dari luar untuk singgah mengerjakan solat di masjid di daerah itu, mendedahkan mereka kepada jenayah. – BERNAMA
https://youtu.be/dw2FAcQD_7g
