HUTAN MELINTANG – Satu lagi mayat lelaki mangsa bot karam di perairan Sabak Bernam ditemui hari ini, menjadikan jumlah terkini mereka yang terkorban dalam tragedi itu adalah 15 orang yang semuanya dipercayai warga Indonesia.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata mayat mangsa berusia 40-an itu ditemui nelayan tempatan kira-kira dua jam sebelum tiba di Jeti Hutan Melintang pukul 9.25 malam.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa dihentikan pukul 7 malam dan akan disambung semula esok pagi.
Setakat ini, mayat 13 wanita dan 2 lelaki ditemui manakala 19 lagi termasuk seorang wanita terselamat selepas bot yang membawa kira-kira 70 penumpang karam di perairan Selangor pada Khamis pagi.
Bot sepanjang 40 kaki itu karam ketika dalam perjalanan dari Kuala Sungai Bernam menuju Tanjong Balai, Indonesia.
Insiden berlaku pada kedudukan sembilan batu nautika di barat daya Tanjong Sauh. – BERNAMA

