KUANTAN – Pahang gagal mara ke separuh akhir apabila tewas kepada kelab Istiklol dengan agregat 3-5 di suku akhir Piala AFC di Stadium Darul Makmur di sini, malam tadi.
Walaupun berjaya mencipta kemenangan 3-1 di gelanggang sendiri di suku akhir kedua, skuad Tok Gajah terpaksa akur dengan kelebihan lawannya dari Tajikistan yang menang suku akhir pertama 4-0 di Dushanbe, 26 Ogos lepas.
Tuan rumah bermula agresif untuk mencipta gol pembukaan namun percubaan terbaik Azammuddin Mohd Akil seawal minit kedua hanya menggegarkan palang gol sebelum percubaan Matthew Davies tiga minit kemudian ditepis penjaga gol, Stosic Nikola.
Namun usaha berterusan yang ditunjukkan pemain Pahang berjaya memecah kebuntuan selepas hantaran R.Surendran berjaya ditanduk masuk Hafiz Kamal pada minit ke-30.
Tersentak dengan jaringan itu, pelawat cuba mencari gol penyamaan, namun dua peluang keemasan Fathulloev minit ke-33 dan 35 yang walaupun berjaya menewaskan penjaga gawang, Mohd Nasril Mat Nourdin gagal menepati sasaran.
Pahang yang ketinggalan dengan agregat 1-4 semakin tertekan selepas terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila pengadil melayangkan kad merah kepada Mohd Saiful Nizam Miswan selepas mengasari Fathulloev seminit sebelum waktu rehat.
Di babak kedua, Pahang terus bangkit dengan jaringan kedua Hafiz Kamal pada minit ke-57 sebelum Istiklol berjaya membolosi gawang tuan rumah tiga minit kemudian menerusi Mahmudov bagi kedudukan 2-1 untuk menjadikan agregat 2-5.
Usaha Pahang mencari tambahan gol hanya berhasil pada minit terakhir menerusi D. Saarvindran untuk kedudukan 3-1, yang tidak cukup untuk melayakkan mereka ke separuh akhir selepas ketinggalan dengan agregat 3-5. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=Z2GEpTGpoRg