JOHOR BAHARU – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya dilanggar sebuah kereta di Kilometer 92.5, Jalan Batu Pahat-Mersing, dekat Kluang, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohamad Laham berkata pada kejadian 12 tengah malam itu, pemandu kereta itu dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dari arah Kampung Gajah menghala ke Kahang.
“Sampai di lokasi kemalangan, secara tiba-tiba motosikal yang dibawa Fong Pow Hong, 56, yang berada di kiri jalan telah bergerak ke tengah jalan untuk masuk ke simpang sebelah kanan.
“Pemandu kereta tidak sempat untuk mengelak lalu terlanggar motosikal tersebut menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian,” kata Mohamad dalam satu kenyataan di sini.
Mangsa yang berasal dari Taman Desa Kluang itu maut akibat cedera parah di kepala dan kaki dan dihantar ke Hospital Kluang untuk dibedah siasat.
Sementara itu, pemandu kereta berusia 21 tahun itu cedera ringan, kata beliau.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=jEc6q1vPUrQ

