KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda PAS yang kini menyertai Parti Amanah Negara (PAN), Suhaizan Kaiat menyokong tindakan Ultras Malaysia mensabotaj perlawanan Malaysia dan Arab Saudi di Stadium Shah Alam, Selangor malam tadi.
Kata beliau, kumpulan berkenaan menyanyikan lagu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bangsat sebagai menunjukkan rasa tidak puas hati golongan muda negara ke atas badan induk bola sepak Malaysia tersebut.
BACA: Kekecohan Pertemuan Malaysia-Arab Saudi Dirancang Awal?
“Penonton menyanyikan lagu FAM Bangsat. Ini suatu tunjuk rasa anak muda kepad FAM. Mereka marah kerana prestasi yang buruk pasukan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, Suhaizan mencadangkan supaya kumpulan itu dipanggil oleh pihak berkepentingan bola sepak Malaysia untuk mendengari suara hati mereka mengenai FAM.
“Bab jenayah ini kita serah kepada pihak polis sahaja,” katanya.
Kumpulan penyokong tegas bola sepak Malaysia, Ultras Malaya semalam bertindak membaling suar ke tengah padang menyebabkan perlawanan tersebut terpaksa ditangguh atas aspek keselamatan.
Protes itu dipercayai dirancang lebih awal bagi memalukan FAM yang dikecam teruk kerana gagal memartabatkan bola sepak Malaysia sejak 31 tahun lalu. – MYNEWSHUB.CC

