KUALA LUMPUR – Speaker dan anggota Parlimen negara ASEAN perlu mempertahankan sistem demokrasi di negara masing-masing dan tidak terpengaruh dengan definisi demokrasi Barat yang boleh memberi kesan buruk.
Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata setiap negara ASEAN memiliki latar belakang sejarah yang berbeza dan pengertian demokrasi berdasarkan kepercayaan agama, sosio budaya dan sistem nilai masing-masing.
Beliau berkata negara anggota ASEAN tidak perlu akur dengan pandangan dunia Barat kononnya mereka dari ASEAN mengamalkan demokrasi yang pincang kerana menafikan hak golongan atau perkara tertentu.
Misalnya, demokrasi ala-Barat memberi hak dan layanan sama rata kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) malah ia bertentangan dengan nilai, budaya dan agama masyarakat di rantau ini.
“Seperti di Filipina yang mengamalkan Kristian Katolik, mereka tidak membenarkan penceraian dan perkahwinan sejenis,” katanya kepada pemberita selepas menutup Perhimpunan Agung ke-36 AIPA di sini hari ini.
Pandikar Amin, yang juga yang Dipertua Dewan Rakyat, berkata Malaysia tidak boleh menerima perkara-perkara seperti LGBT dan sodomi kerana ia bertentangan dengan agama Islam, sebagai agama rasmi negara.
Katanya anggota Parlimen setiap negara ASEAN perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam menyedarkan rakyat khusus generasi muda supaya tidak mudah terpengaruh dengan anasir luar yang boleh menggugat keamanan negara.
Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa puas hati dengan perjalanan perhimpunan kali ini apabila semua perwakilan mengambil bahagian dengan aktif pada sesi pleno dan mesyuarat di peringkat jawatankuasa dengan mengekalkan semangat ASEAN walaupun kadang kala berbeza pendapat. – BERNAMA

