MELAKA – Kerajaan Negeri Melaka bersedia mengarahkan penutupan mana-mana sekolah di negeri ini sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan berkenaan melebihi 200, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.
Beliau berkata arahan itu penting bagi menjaga kesihatan pelajar dan mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini seperti kemalangan jalan raya kepada orang awam.
“Pagi ini IPU (di Melaka) masih berada pada tahap tidak sihat, sehubungan itu saya telah minta Jabatan Alam Sekitar sentiasa mengemaskini bacaan IPU kepada kita untuk kita ambil tindakan pantas demi keselamatan dan kesihatan rakyat Melaka terutamanya kanak-kanak.
“Kerajaan negeri sentiasa memantau situasi jerebu dan ambil langkah antaranya membekal topeng muka kepada sekolah seluruh negeri. Sebanyak 10,000 topeng muka sedang dibekalkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Memperkasa Ekonomi Melayu di sini hari ini.
Setakat pukul 2 petang tadi menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar dua kawasan di Melaka mencatat IPU tidak sihat iaitu Bukit Rambai pada 158 dan Bandaraya Melaka pada 141.
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan hari ini sekolah perlu ditutup apabila bacaan IPU di sesebuah kawasan melebihi 200.
Sementara itu Idris berkata cadangan menubuhkan Melaka-Guangdong Industrial Park di Jasin dekat sini mendapat maklum balas yang memberangsangkan daripada pelabur Guangdong di China.
Beliau berkata beberapa syarikat dari China telah mencadangkan beberapa projek berkaitan kawasan perindustrian itu kepada kerajaan negeri antaranya pembinaan lapangan terbang baharu.
Katanya ada juga syarikat dari China yang menyatakan minat kepada kerajaan negeri untuk membina hotel bertaraf enam bintang di negeri ini terutamanya bagi menampung keperluan pelabur.
“Melaka tidak memiliki sumber asli tetapi dengan adanya cadangan kreatif ini, mereka boleh mempelbagaikan produk mereka dan memperkasa produk sedia ada bagi merancakkan lagi ekonomi di negeri ini,” katanya. – BERNAMA

