USAH bimbang, anda tidak mungkin baca berita ini di portal pro-pembangkang. Ia kisah kejayaan Malaysia yang diterajui kerajaan Barisan Nasional kerana jika ikut dakyah pembangkang, Malaysia ini sudah lama bangkrap!
Ini cerita Malaysia melonjak dua tangga kepada kedudukan ke-18 daripada 140 negara, sekali gus mengukuhkan kedudukan dalam kalangan 20 ekonomi utama paling daya saing di dunia, iaitu rangking tertingginya sejak 2005.
Laporan Daya Saing Global 2015-2016 yang diumumkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Switzerland pada Rabu meletakkan Malaysia tangga ke-18 dengan skor 5.23 daripada tangga ke-20 dalam kalangan 144 negara tahun lalu.
Malaysia juga kekal berada pada kedudukan teratas dalam kalangan negara membangun di benua Asia, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu kenyataan.
Mengulas dengan lebih lanjut, beliau berkata peningkatan rangking tersebut adalah berita yang cukup dialu-alukan dalam konteks persekitaran global yang agak mencabar pada ketika ini.
“Rangking ini juga merupakan sokongan terhadap kemajuan dicatatkan negara dalam meningkatkan kecekapan dan daya saing menerusi Program Transformasi Kerajaan serta Program Transformasi Ekonomi,” katanya.
Disokong asas ekonomi kukuh, Malaysia berada di landasan baik untuk meneruskan kemajuannya ke arah mencapai status sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ini kerana menjelang 2020, Malaysia dijangka berjaya merapatkan jurang dengan pendapatan per kapita kasar negara berbanding hanya berada pada AS$10,660 dicatatkan tahun lepas.
Menurut laporan WEF itu, Malaysia merupakan ekonomi paling berdaya saing dalam kalangan 20 ekonomi yang berada pada tahap peralihan daripada ekonomi berasaskan kecekapan kepada ekonomi berasaskan inovasi.
Dengan prestasi daya saing dipertingkatkan, Malaysia terus mendahului ekonomi-ekonomi utama lain seperti Belgium, Luxembourg, Australia, Perancis, Austria, Ireland, Arab Saudi dan Korea Selatan.
Switzerland di tempat pertama bagi tujuh tahun berturut-turut dalam Indeks Daya Saing Global (GCI) 2015-2016, diikuti Singapura, Amerika Syarikat (AS), Jerman, Belanda, Jepun, Hong Kong, Finland, Sweden, Britain, Norway dan Denmark.
WEF menjelaskan lagi, peningkatan kestabilan makroekonomi Malaysia (di tangga ke-35, naik sembilan mata) adalah hasil terutamanya pengurangan defisit bajet pada 3.7 peratus daripada keluaran dalam negara kasar, yang terendah untuk tempoh enam tahun.

Mustapa berkata, laporan itu menunjukkan daya saing Malaysia berasaskan kepada kecekapan pasaran barangan dan tonggak pembangunan pasaran kewangan, dengan Malaysia berada dalam senarai 10 teratas masing-masing pada kedudukan keenam dan kesembilan.
“Malaysia mencatatkan kenaikan dalam kebanyakan daripada 12 tonggak, dengan peningkatan kestabilan makroekonomi, pendidikan tinggi dan latihan (kedudukan ke-36, naik 10 tangga) dan paling ketara, kesediaan teknologi (kedudukan ke-47, melonjak 13 tangga),” katanya.
Antara faktor penyumbang kepada peningkatan ketara itu, dengan lebih daripada sepuluh tangga, ialah langganan jalur lebar mudah alih (kedudukan ke-48, naik 45 tangga), pendaftaran pendidikan rendah bersih (kedudukan ke-41, meningkat 19 mata) dan keseimbangan bajet kerajaan (kedudukan ke-85, naik 17 tangga).
Dalam penilaian positif itu, GCI turut menunjukkan bahagian-bahagian tertentu yang perlu ditambah baik termasuk kadar penyertaan wanita yang masih rendah dalam pasaran tenaga kerja.
Mustapa berkata kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan produktiviti secara berfokus dan bersasar dengan hasil yang jelas di peringkat nasional, industri dan perusahaan semasa Rancangan Malaysia Ke-11.
Menurut beliau, ini adalah sejajar dengan penekanan WEF kepada produktiviti tinggi untuk menangani pertumbuhan perlahan dicatatkan pada masa ini.
Mustapa berkata asas kukuh perkongsian awam-swasta Malaysia akan membantu negara mengekalkan momentum pertumbuhannya untuk menjadi satu daripada destinasi pelaburan dan perdagangan utama di Asia.
“Sektor swasta akan terus meningkatkan usahanya untuk melabur dalam teknologi, meneruskan produktiviti dan memupuk inovasi serta bakat,” katanya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
