MELAKA – Sekumpulan mat rempit bertempiaran membuat pusingan U apabila menyedari kehadiran sepasukan polis dari Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah yang menjalankan Operasi Samseng Jalanan dan Lalulintas di Lebuh Ayer Keroh dan Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ), dekat Melaka Sentral, awal pagi semalam.
Dalam operasi berkenan, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan di Lebuh Ayer Keroh berhampiran Kolej Yayasan Melaka (KYM) kerana didapati menunggang motosikal dengan melawan arus bagi meloloskan diri dan membuat aksi merbahaya.
Difahamkan, operasi yang bermula dari jam 12 tengah malam itu, menyaksikan seorang penunggang remaja ditahan kerana bertindak biadab ketika anggota bertugas cuba menahannya dengan mempamerkan aksi merbahaya sebelum motosikalnya terbabas sendiri di tepi jalan.
Operasi selama tiga jam itu diketuai Inspektor Firdaus bersama tiga pegawai, 10 anggota Bahagian Polis Trafik IPD Melaka Tengah bersama 35 anggota Sukarelawan Polis Diraja Malaysia (SPDRM).
Dalam operasi itu, 251 kenderaan diperiksa dan 170 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai jenis kesalahan jalan raya.
Ketua Trafik Daerah Melaka Tengah, Asisten Superintendan Yahya Manan berkata, terdapat beberapa buah motosikal ditinggalkan pemilik berikutan kemungkinan mereka melakukan kesalahan seperti tidak memiliki lesen.
Katanya, 35 buah motosikal pelbagai jenis disita kerana tidak mematuhi undang-undang jalan raya dan ditahan mengikut kesalahan biasa manakala remaja yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis tidak akan berkompromi dengan kesalahan yang mereka lakukan dan akan memantau kawasan yang menjadi lokasi panas mat rempit sehingga kawasan berkenaan dilaporkan bersih dan selamat.
“Kami akan bertindak ke atas pesalah jalan raya melalui aduan diterima daripada orang ramai selain membuat pemeriksaan di kawasan berkenaan bagi memastikan mat rempit tidak mengganggu ketenteraman awam,†katanya. – Sinar Harian Online

