KETUA UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos yakin fenomena jerebu yang berlaku kini akan hilang menjelang tengah malam ini sebelum perhimpunan ‘baju merah’ berlangsung esok (Rabu).
Menurut Jamal, dia yang terlibat secara langsung dalam penganjuran ‘Himpunan Rakyat Bersatu’ atau ‘baju merah’ percaya keajaiban akan berlaku kerana perhimpunan tersebut akan mendapat keberkatan.
Jelasnya, hal ini kerana penganjuran himpunan ini turut disertai dengan amalan melakukan solat hajat dan berdoa.
“Hari ini saya rasa akan berlaku satu keajaiban kerana perhimpunan tersebut disertai dengan solat hajat, doa dan kebaikan.
“Saya rasa esok udara langit akan terang benderang. Takkan ada jerebu lagi. Jerebu sampai tengah malam ini sahaja,” katanya seperti dilaporkan portal Berita Daily.
Perhimpunan yang dianjurkan Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) ini telah mendapat kebenaran pihak berkuasa dengan syarat-syarat yang perlu dipatuhi penganjur dan peserta.
Difahamkan, himpunan esok akan bermula di beberapa lokasi di ibu negara termasuk di Bukit Bintang dan berakhir di Padang Merbok. – MYNEWSHUB.CC