KAHERAH – Seorang wanita Mesir dan anaknya terbunuh dalam serangan bom kereta manakala empat askar maut dalam kejadian serangan bom berasingan di Semenanjung Sinai, hari ini.
Ia kejadian terbaharu ketika pihak tentera Mesir meningkatkan serangan bagi memerangi puak penentang di semenanjung berkenaan.
Tentera Mesir berkata, wanita dan anaknya itu maut dalam serangan bom kereta di Rafah, sempadan dengan Palestin di Semenanjung Gaza.
Empat anggota tentera yang maut akibat serangan bom dalam pertempuran dengan kumpulan jihad di utara Sinai.
Sejak Isnin lalu, tentera Mesir meningkatkan serangan terhadap militan Negara Islam (IS) yang menguasai sempadan di Iraq dan Syria.
Tentera mendakwa 232 anggota jihad terbunuh dalam operasi itu namun ia tidak dapat disahkan dengan pihak yang lain. – AFP