KAMPAR – Dua beradik ditemukan mati lemas selepas tenggelam dihanyutkan arus deras ketika mereka mandi bersama-sama lima rakan di kawasan Perkelahan Air Terjun, Batu Berangkai di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata kejadian menyayat hati itu berlaku apabila N.Kannan, 23, cuba membantu adiknya N.Yogan, 22, yang tenggelam timbul kerana tidak tahu berenang.
“Ketika mereka mandi, Yogan dikatakan tenggelam timbul kerana tidak tahu berenang dan abangnya cuba membantu tetapi gagal lalu kedua-duanya tenggelam di bawa arus deras manakala rakan-rakanya cuba membantu tetapi gagal” katanya.
Katanya mayat dua beradik dari Taman Sentosa, Klang, Selangor itu ditemukan pada kira-kira 7 malam tadi oleh unit penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kampar.
Mayat kedua-dua pelajar kolej swasta di Klang itu dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat, katanya kepada pemberita hari ini.
Ng berkata dua beradik itu datang ke Kampar pada Ahad lepas untuk menghadiri majlis pertunangan abang mereka.
“Mereka dikatakan pergi ke kawasan perkelahan itu bersama lima lagi rakan pada pukul 3.30 petang semalam untuk mandi,” katanya.
Ng berkata ini merupakan kes kedua kejadian mati lemas berlaku di kawasan perkelahan itu pada tahun ini dengan kejadian pertama pada Julai lepas membabitkan dua pelajar sebuah sekolah di sini. – BERNAMA