KEMAMAN – Sebanyak 112 saman dikeluarkan pihak polis dan agensi penguatkuasa lain ke atas pelbagai jenis kenderaan dan kesalahan dalam tempoh 32 jam Operasi Bersepadu Bauksit di Kilometer 30 Jalan Kuantan-Felda Neram I semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, operasi tersebut disertai 95 pegawai dan anggota daripada tujuh agensi iaitu Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Pejabat Daerah Kemaman.
“Dalam operasi tersebut, PDRM mengeluarkan sebanyak 55 saman, diikuti JPJ 52 saman, SPAD mengeluarkan empat saman dan satu saman dikeluarkan JAS.
“Operasi bersepadu ini diadakan berikutan tujuh laporan polis dibuat oleh tujuh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Mukim Hulu Jabor awal bulan lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd. Said berkata, laporan polis tersebut dilakukan apabila penduduk mendakwa jalan di kawasan tersebut banyak yang rosak sejauh lebih dua kilometer selain debu bauksit yang mengancam kesihatan penduduk.
“Operasi bersepadu ini juga diadakan bagi menjamin keselamatan orang ramai bukan saja kerana pencemaran debu bauksit, malah turut mencegah pemandu kenderaan yang tidak berdisiplin dan melanggar undang-undang lalu lintas,” katanya. – BERNAMA