PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Najib Razak ketika membuat ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini berkata, dana politik yang diterima merupakan hak eksklusif presiden serta bendahari parti, lantas ia tidak dibincangkan secara terbuka.
Tambahnya lagi, perkara berkaitan isu tersebut turut tidak dibawa ke dalam perbincangan tertutup parti mahupun majlis tertinggi UMNO.
RM10 Juta Kempen PRU Zaman Tun M Tak Rasional – Najib Razak

“Waktu saya jadi timbalan Pak Lah (bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi), saya tidak pernah menyoal Pak Lah. Saya tahu itu adalah urusan presiden parti.
“Sampai sahaja pilihan raya fulus (duit) cukup, itu saja yang kita nak tahu … bagaimana presiden dapat dana, siapa bagi sumbangan itu hak budi bicara presiden. Kenapa pula nak dipersoalkan waktu saya jadi presiden parti,” ujar beliau seperti dilaporkan Astro Awani.
Najib turut berkata, selepas mengambil alih tampuk kepimpinan parti, beliau meneruskan prinsip sama yang diamalkan presiden terdahulu.
“Apa yang saya buat adalah untuk kepentingan parti dan bukan untuk peribadi … apa yang saya buat tidak menyalahi undang-undang negara.”
Ahli Parlimen Pekan itu turut berkata, sepanjang menjadi timbalan kepada Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliau tidak pernah mempersoalkan sesuatu yang di luar bidang kuasanya, iaitu urusan-urusan yang diketahui menjadi hak serta budi bicara presiden. – MYNEWSHUB.CC
Beri Lebih Kuasa Autonomi Kepada Sarawak – Najib Razak