KUALA NERUS – Kira-kira 2,500 anggota sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Terengganu mula menjalani latihan simulasi hadapi banjir.
Pengarah JPAM Terengganu Left Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata latihan diadakan secara berperingkat dan setakat ini latihan telah dijalankan di Kemaman dan Dungun.
“Ini adalah rutin tahunan kita dalam meningkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan anggota JPAM dalam operasi menyelamat ketika musim banjir.
Latihan ini sangat penting untuk memastikan kesiapsiagaan sentiasa pada tahap terbaik kerana cuaca di Terengganu dan Pantai Timur ini khususnya agak sukar diduga sepanjang musim tengkujuh nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Aidilfitri dan pengagihan sagu hati kepada 185 petugas JPAM yang terlibat dalam Ops Bantu pada Aidilfitri lalu, di sini hari ini.
Selain latihan kemahiran dan pendedahan mengenai teknik menyelamat terbaru, JPAM Terengganu juga sudah memulakan kerja-kerja penyelenggaraan aset yang akan digerakkan ketika musim banjir nanti, katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu yang mengagihkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada JPAM untuk memastikan operasi keselamatan dan membantu pengguna jalan raya berjalan lancar pada musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini. – BERNAMA

