KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gembira dengan langkah kerajaan membatalkan arahan pemindahan dua pegawai kanan badan itu ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, SPRM menyambut baik pengumuman berhubung perkara itu oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa.
“Merujuk kepada kenyataan akhbar KSN yang membatalkan pertukaran dua pegawai kanan SPRM ke JPM setelah pertemuan pada pagi ini, SPRM menyambut baik keputusan ini.
“SPRM berpandangan bahawa ia satu tindakan yang baik dan sangat wajar,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Mustafar berkata, SPRM ingin mengucapkan terima kasih kepada KSN dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan semua pihak yang terlibat dalam arahan terkini tersebut.
“SPRM akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan bebas, telus dan profesional sebagaimana termaktub dalam Akta SPRM 2009 dan Aspirasi SPRM,” katanya. – Mynewshub.cc

