KUALA LUMPUR – Polis menahan lima lelaki dipercayai terbabit dengan kejadian samun dan tetak, di tiga lokasi berhampiran di sekitar Setapak pada Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, dalam tiga kejadian itu, empat individu mengalami kecederaan di tangan dan kepala akibat ditetak.
Katanya, dalam kejadian kira-kira 4.50 pagi, seorang lelaki yang berjalan bersama tiga rakannya cuba disamun dua lelaki menaiki sebuah motosikal namun gagal selepas rakannya menghalang suspek.
“Bagaimanapun, rakannya itu telah ditetak menggunakan parang ketika membantu mangsa dan suspek kemudiannya melarikan diri manakala kunci motosikal suspek telah diambil oleh mangsa.
“Dua puluh minit kemudian, dua suspek itu bersama empat lagi rakannya kembali semula ke lokasi berkenaan untuk mengambil motosikal namun tidak menemui kunci motosikal,” katanya.
Suspek kemudian masuk ke kafe siber berhampiran untuk mencari mangsa serta rakan-rakannya bagi mendapatkan semula kunci motosikal tersebut. – BERNAMA

