GEORGE TOWN – Seorang penunggang motosikal maut apabila motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah kenderaan dalam kejadian langgar lari di Jalan Masjid Negeri, di sini hari ini.
Goh Cheng Huat, 54, dari Jalan Gangsa di sini mati di tempat kejadian selepas dilanggar dan diseret kira-kira 60 meter oleh sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata lelaki berkenaan yang menunggang motosikal Honda Ex-5 dilapor dilanggar ketika dia dalam perjalanan ke tempat kerja di Bayan Lepas pada pukul 6.25 pagi ini.
“Ketika kejadian keadaan di kawasan itu agak gelap… mangsa yang berada di laluan Jalan Masjid Negeri dan mahu memasuki Jalan Tetembok dilanggar sebuah kenderaan,” katanya di sini hari ini.
Mior Faridalatrash berkata pemandu kenderaan berkenaan dikatakan memecut laju meninggalkan mangsa di tempat kejadian.
Mayat Goh dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat, katanya sambil meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – BERNAMA

