KUANTAN – Seorang lelaki ditemui lemas manakala rakannya pula hilang ketika memancing di Loji Air Selendang, Empangan Anak Endau, Rompin, hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang Anuar Hassan berkata mayat Husmirol Che Hushin, 33, dari Felda Selendang 1, Rompin ditemui pasukan penyelamat pada pukul 4.46 petang berhampiran lokasi dia dilaporkan hilang.
Rakan mangsa, Hasyanur Mohd Hader, 21, masih hilang dan operasi mencari diteruskan sehingga kini.
“Maklumat yang diterima pada pukul 11.33 pagi tadi mengatakan terdapat dua lelaki terjatuh semasa memancing di situ,” katanya semasa dihubungi.
Anuar berkata operasi itu melibatkan sebuah jentera dari Balai Bomba Rompin bersama lima anggota yang tiba di tempat kejadian pada pukul 12.21 tengah hari.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk bedah siasat. – BERNAMA