ALOR SETAR – Kerajaan Kedah akan memberi ganjaran sebanyak RM10,000 kepada setiap pemain dan pegawai pasukan atas kejayaan mereka menjuarai Liga Perdana, baru-baru ini.
Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata insentif itu merupakan pembakar semangat kepada pemain sebelum aksi Piala Malaysia, bulan depan.
Pemain dan pegawai beragama Islam turut menerima ganjaran pakej umrah, manakala pemain bukan Islam akan diberikan ganjaran lain yang setaraf dengan pakej umrah, katanya.
“Pemain Kedah perlu bermain bersungguh-sungguh kerana semua pasukan dalam Kumpulan A saingan Piala Malaysia bukan calang-calang pasukan,” katanya pada majlis sambutan Piala Liga Perdana di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Mukhriz berkata sebagai persiapan menghadapi Piala Malaysia, pemain akan didedahkan dengan latihan di luar negara.
Pada majlis itu, pemain dan pegawai diarak bersama piala tersebut dengan menaiki bas sejauh 5.9km bermula dari Wisma Darul Aman hingga Stadium Darul Aman. – BERNAMA