TAWAU – Lelaki yang dipercayai lemas ketika berenang menyeberangi Sungai Brantian di Kampung Brantian, Kalabakan dekat sini semalam, ditemui pasukan mencari dan menyelamat pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Mohd Razali Awang Ahmad berkata mayat Abdul Nurkhairi Abdul Malik, 21, dijumpai dalam keadaan terapung kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.
“Mayat mangsa ditemui Pasukan Bomba Sukarela Umas pukul 8.45 pagi dan operasi pencarian ditamatkan pada 12.08 tengah hari tadi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata operasi menyelamat turut disertai empat anggota dari Balai Bomba Tawau dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Besar Tawau untuk dibedah siasat.
Mohd Razali berkata dalam kejadian 4.41 petang semalam, mangsa dipercayai lemas semasa berenang menyeberangi sungai berkenaan yang ketika itu berarus deras disebabkan air pasang. – BERNAMA