KUMPULAN baju merah anti-Bersih membuat keputusan membatalkan bantahan mereka pada Sabtu Ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh ketua kumpulan itu, Datuk Jamal Yunus setelah memberi keterangan di ibu pejabat polis Dang Wangi pada petang, semalam.
Menurutnya, keputusan untuk menangguhkan protes mereka diambil selepas mengadakan perbincangan bersama Ketua Polis Kuala Lumpur dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi.
“Kita diberi taklimat mengenai bagaimana polis merancang untuk menangani perhimpunan Bersih 4.0.
“Mereka juga dinasihatkan untuk tidak mengadakan perhimpunan pada hari yang sama dan kita dengar nasihat mereka,” katanya kepada media di ibu pejabat polis Dang Wangi.
Bagaimanapun, Jamal memberitahu, kumpulan itu tetap akan mengadakan perhimpunan bagi membantah Bersih 4.0 dalam masa seminggu atau dua minggu lagi.
“Kita akan ikut undang-undang dan akan mengadakan perhimpunan kita di lokasi yang bersesuaian.
“Kita mungkin adakan perhimpunan di stadium,” katanya.
Mengulas laporan mengenai peserta anti-Bersih diminta membawa parang dan senjata dalam perhimpunan itu, Jamal mendakwa ianya telah disensasikan.
“Kita tidak nasihatkan sesiapa untuk bawa senjata, kita hanya mengadakan demonstrasi mengenai teknik silat.
“Kita disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman kerana mengadakan demonstrasi dan saya akan bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya.
Sebelum ini, kumpulan anti-Bersih bertegas ingin meneruskan pehimpunan bantahan walaupun telah diberi amaran oleh pihak polis.
Kumpulan ini mendakwa hanya akan membatalkan protes itu sekiranya penganjur Bersih 4.0 turut melakukan perkara yang sama.
Difahamkan, kumpulan anti-Bersih ini terdiri daripada 30,000 anggota dari lebih 280 badan bukan kerajaan (NGO). – MYNEWSHUB.CC
Sumber: mStar Online
https://www.youtube.com/watch?v=7mZDuESWwms