SEPERTI direnjat elektrik, pengguna media sosial semalam seakan terkejut dengan ulasan yang diberikan oleh seorang ustazah berkaitan bayi yang diberi minum susu lembu akan mempengaruhi sifat peribadinya.
Melihat kepada ruangan komen di pautan artikel yang kami kongsikan, dapat dilihat pandangan netizen mengenai perkara terbabit di mana rata-ratanya amat tidak bersetuju mengenai cadangan ustazah terbabit.
Mungkin maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh ustazah berkenaan adalah kelebihan susu ibu adalah paling superior dan terbaik berbanding susu campuran yang berada di pasaran.

Tidak dinafikan susu ibu itu jauh lebih baik untuk bayi berbanding segala jenis susu di dalam dunia ini kerana bukan sahaja ia adalah fitrah alam malah dari segi saintifiknya nutrisi yang dibekalkan adalah juah lebih berkhasiat berbanding susu lain terutamanya susu kambing dan lembu.
Seperti sedia maklum, hampir semua kehidupan jenis mamalia termasuk manusia juga, setelah melahirkan anak, ibunya akan menyusukan anak mereka. Pernahkan anda melihat kucing beranak kemudian disusukan oleh ibu kerbau? Inilah fitrah.
Begitu juga dengan manusia, tiada susu lain yang lebih baik untuk bayi melainkan susu ibu.
Namun manusia sebagai sebuah organisma yang agak kompleks, terdapat kes di mana sesetengah golongan ibu tidak mampu mengeluarkan susu badan lagi sehingga ada timbulnya masalah komplikasi bengkak payudara, susu kurang, penyakit, umur dan sebagainya.
Maka daripada bayi dibiarkan berlapar dan tidak mendapat sebarang nutrisi, manusia telah mencipta dan menghasilkan susu formula daripada susu lembu dengan kajian saintifik sebagai alternatif untuk mengatasi masalah tersebut. Walaupun susu ibu jauh lebih baik daripada susu alternatif tersebut, tetapi sekurang-kurangnya bayi masih boleh mendapat khasiat yang diperlukan.
Para doktor juga memberi nasihat agar cuba elakkan daripada memberi susu formula kepada bayi yang baru lahir sehingga umur 1-2 tahun dan cuba untuk bagi juga susu ibu. Ini kerana susu dari lembu dan kambing, komposisi nutrisinya agak berbeza berbanding komposisi susu ibu manusia.
Kandungan protein, kalsium, dan sodium dalam susu ibu manusia adalah jauh lebih rendah dan lebih tinggi kandungan lemak mono dan poli-tak tepu, karbohidrat, folat dan vitamin C yang mana diperlukan untuk kesihatan bayi.
Berikut adalah info daripada blog terkenal buasirotak di mana laporan USDA National Nutrient Database mengenai perbezaan komposisi nutrisi antara susu ibu manusia, susu lembu dan kambing.

Cuma masalah orang kita terutamanya para aktivis penyusuan susu ibu ini, apabila mereka memberi kenyataan mengenai kebaikan susu ibu, perkara ‘berlebih-lebihan’ seperti menyatakan bayi yang minum susu lembu akan mempengaruh peribadi akhlak bayi apabila dewasa kelak.
Adakah benar dakwaan terbabit?  Maka pastinya timbul persoalan berapa ramai orang yang minum susu lembu ketika kecil menjadi kurang sabar apabila dewasa dan berapa ramai pula orang yang hanya minum susu ibu menjadi manusia yang waras.
Berapa ramai orang yang genius, bijak pandai, berakhlak mulia yang hanya minum susu ibu dan tidak minum susu lembu sewaktu kecil?
Serta mengapa masih ada orang bukan Islam yang minum arak dan memakan makanan haram tetapi perangainya masih baik sedangkan ada orang Islam yang tidak pernah minum arak dan tidak memakan makan haram tetapi akhlaknya mengalahkan jin Ifrit.
Jika diikutkan, simbolik ayat ‘you are what you eat’ mungkin merujuk kepada sumber makanan yang seterusnya menjadi darah daging kita, itulah yang dimaksudkan.
Sumber yang halal lagi baik adalah sebaiknya daripada sumber yang entah tidak diketahui dari mana asal-usulnya.
Mengenai iman, akhlak dan nilai moral, semua perkara tersebut adalah perlu dididik, diajar, disemai dan bukannya bergantung kepada pemakanan semata-mata.
Kalau setiap hari diberi susu ibu dari kecil tetapi ‘dididik’ dengan hiburan, maka apabila dewasa kelak tidak mustahil niatnya ingin memasuki Akademi Fantasia juga.
Bagi menguatkan lagi dari pandangan yang kami berikan, di sini kami kongsikan maklumat daripada Syahira Hozami, seorang penuntut dalam bidang Pengajian Islam Dan Sains (Genetik & Biologi Molekul), Universiti Malaya mengenai isu ini.
Ke hadapan ustazah yang saya kasihi, Assalamualaikum dan salam sejahtera mudah-mudahan rahmat dan kasihNya melimpahi kehidupan kita, dan mudah-mudahan redha Allah jua mengiringi setiap perbuatan kita dan mudah-mudahan, salah dan khilaf kita diberi keampunan oleh Tuhan
Baru ini saya melihat tersebarnya kenyataan ustazah dalam Fiqh Wanita TV3, mengenai isu DNA lembu yang masuk ke dalam badan kalau minum susu lembu.
Saya menghormati ustazah sebagai seorang yang proaktif dalam memberi pandangan, berhati-hati dalam memberi pendapat, dan tersusun bahasa apabila menyampaikan. Kupasan ustazah dalam bidang fiqh wanita banyak membuka minda wanita yang mengikuti kupasan ustazah baik dalam ceramah, di youtube, dalam buku atau novel dan sebagainya. Ustazah ke hadapan membawa idea yang baik untuk diketengahkan. Saya juga pernah menghadiri mukhayyam yang mana ustazah merupakan penceramahnya, di hadapan pada satu subuh yang hening, berkisah mengenai wanita dan perjuangan dalam Islam.
Atas dasar hormat itu saya ingin mengetengahkan seperkara yang saya lihat ustazah sampaikan telah tersasar dari fakta, meskipun niat ustazah baik dan mahukan yang terbaik bagi orang lain.
Iaitu, ustazah memberitahu mengenai DNA lembu yang masuk ke dalam tubuh bayi. Bagi saya, kenyataan ustazah ini mendatangkan sedikit kekeliruan, dengan ustazah meletakkan kenyataan ini dalam kondisi negatif kepada semua pihak.
Saya ingin memberitahu ustazah, DNA yang masuk ke dalam tubuh bayi (dalam hal ini saya merujuk susu lembu itu masuk melalu mulut dan oesophagus, kemudian masuk dalam perut ia dicerna, kemudian ke bahagian usus untuk diserap), ia diserap sebagai nutrient, dan tidak memberikan tindak balas kepada DNA manusia kecuali, susu itu mengandungi bahan radioaktif atau bahan-bahan yang merangsang mutasi kepada DNA seperti bahan yang mengandungi proflavin ( rujuk :http://pubchem.ncbi.nlm.nih.gov/compound/Proflavin ), bahan yang mengandungi 5-bromouracil ( rujuk : http://pubchem.ncbi.nlm.nih.gov/compound/5-Bromouracil ), mustard gas ( rujuk : http://pubchem.ncbi.nlm.nih.gov/compound/Mustard_gas ), hydroxylamine ( rujuk :http://pubchem.ncbi.nlm.nih.gov/compound/hydroxylamine ) dan lain-lain yang mana ia tidak dicampurkan dalam mana-mana susu yang diproses.
Bahan-bahan yang diproses meskipun kebiasaannya dilalukan dengan ionizing radiation, tetapi ia tidak mendatangkan kesan kepada manusia dan hanya cukup untuk bunuh bakteria sahaja – ia dipanggil food irradiation. Namun, proses bunuh bakteriapada bahan tenusu kebiasaannya menggunakan proses pasteurization (rujuk :http://www.milkfacts.info/Milk%20Processing/Heat%20Treatments%20and%20Pasteurization.htm )
Dengan fakta yang saya sebutkan di atas, mengatakan DNA manusia berubah atau terkesan dengan meminum susu lembu adalah satu kenyataan yang tidak berasaskan kepada rujukan yang berautoriti dalam bidang sains. Perbicaraan mengenai mutasi dalam tubuh badan manusia merangkumi tulisan yang lebih panjang, cukuplah saya menyatakan bahawa kenyataan ustazah sebelum ini tidak tepat dan perlu kepada rujukan semula.
Saya memahami tujuan ustazah mahu menonjolkan sisi baik mengenai susu ibu dan bagaimana, susu ibu itu lebih baik daripada susu yang lain. Tetapi saya juga berharap agar ustazah juga tahu dan mengambil kira, ada ibu-ibu di luar sana yang tidak mampu menyusukan anaknya atas faktor-faktor biologi, mengambil supplement atau ubat perangsang pengeluaran susu ada pro dan cons -nya yang tersendiri, dan selain itu ubat tersebut mahal bagi ibu-ibu yang tidak mampu untuk membelinya.
Saya berharap ustazah dalam mengetengahkan kelebihan susu ibu, supaya lebih berhati-hati dalam membawakan fakta. Susu ibu lebih baik bukan kerana faktor DNA, tetapi kerana susu ibu mampu memberi antibodi yang lebih baik kepada tubuh badan bayi berbanding susu lain. Susu manusia, mempunyai kandungan antibodi yang banyak dan cukup untuk melawan bakteria dalam tubuh anak-anak. bayi yang masih kecil tidak mampu untuk menghasilkan sistem imunisasi yang kukuh, manakala susu ibu mampu memberikan antibodi (IgA terutamanya) yang sudah siap sedia untuk melawan bakteria. Dari sisi lain, susu lembu yang dibancuh ada risiko memberi alergi kuat kepada bayi yang masih belum ada antibodi lawan alergi (IgE). Secara kesimpulannya, untuk mengatakan susu lembu atau susu lainnya tidak bagus untuk bayi secara total, adalah tidak tepat sama sekali.
Saya ingin membawakan rujukan yang saya kira mempunyai autoriti mengenai hal ‘breast feeding’ dalam laman :-
How Breast Milk Protects Newborns :
http://kellymom.com/pregnancy/bf-prep/how_breastmilk_protects_newborns/
Immune factors in human milk :
http://kellymom.com/nutrition/milk/immunefactors/
Breast feeding: overview and breast milk immunology (abstract, article journal)
http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/7825463
Transfer of antibody via mother’s milk (abstract, article journal)
http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/12850343
Saya berharap orang lain yang membaca post ini membuka link-link yang saya sertakan, atau setidak-tidaknya ‘bookmark’ page tersebut untuk rujukan mendatang.
Saya tidak mengatakan, bahawa pendapat saya lebih betul dari sesiapa, baik kepada ustazah sendiri. Saya cuma sampaikan apa yang saya tahu, dan semoga kita sama-sama dapat membaiki silap kita dan saling menegur dengan baik, dan semoga kita dijauhkan dari menjadi keyboard warrior.
Saya tidak berharap statement saya sebentar tadi di-viral-kan untuk “serang” Ustazah Fatimah Syarha.
Beliau ada banyak sumbangan yang sangat berharga, terutama bagi kaum wanita.
Di saat ramai para ustaz ustazah memberikan pandangan jumud mengenai wanita (dan masih lagi hingga kini), beliau datang membawakan hujah yang lebih meluas dan mengajak kita berfikir, dan berlapang dada kepada yang tidak menyetujuinya.
Saya menulisnya kerana saya tahu beliau, seorang yang berlapang dada dan berfikiran terbuka. Saya meyakini beliau akan lebih berhati-hati selepas ini.
Saya menulisnya secara terbuka supaya orang yang share statement saya tadi, terutamanya, ambil effort untuk baca link yang saya sertakan. Analisis rujukan dan maklumat yang saya berikan. Bagaimana jika saya katakan, yang apa yang saya katakan itu mungkin silap?
Saya menulisnya secara terbuka supaya ramai orang bertindak berhujah secara fakta, secara ilmiah, secara akhlak, dan bukan melakukan character assassination, bukan mencarut dan memaki hamun, bukan sekadar komen mengutuk di page Fiqh Wanita TV3 itu. Kita boleh menulis dengan beradab dan berakhlak tetapi mengapa kita tidak?
Semua orang buat silap. Kita bernasib baik sahaja, Allah lindungkan banyak kelemahan dan keaiban kita.
Dari saya, yang banyak kelemahan,
Syahira Hozami
Pengajian Islam Dan Sains (Genetik & Biologi Molekul)
Universiti Malaya
-MYNEWSHUB.CC
Oleh: hzq
https://www.youtube.com/watch?v=FcrRUZ3DsMk