ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir melahirkan kegembiraan apabila Kedah Darul Aman, yang dahulunya pernah dikenali sebagai ‘Darul Sampah’, kini sudah berubah wajah.
Ia menjadi antara negeri terbersih di Malaysia, malahan, katanya, perkara tersebut diakui sendiri oleh rakan-rakan sejawatannya yang pernah datang melawat ke negeri tersebut, agensi Bernama melaporkan.
“Mereka (menteri besar lain) memaklumkan kepada saya apabila berjumpa atau hantar teks mereka ucap tahniah kerana depa melihat yang pertamanya bandar raya Alor Setar sangat bersih berbanding dahulu.
“Bahkan kawasan-kawasan lain di sekitar negeri Kedah pun laa ni (sekarang) turut bersih,” kata Mukhriz spontan ketika berucap merasmikan Wisma Idaman di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, pencapaian tersebut banyak disumbangkan oleh pihak syarikat pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Kedah dan Perlis, Environmental Idaman Sdn. Bhd. (E-Idaman).
“Sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Menteri Besar, saya berpuas hati dengan prestasi dan komitmen ditunjukkan E-Idaman, bukan sahaja aspek jaga kebersihan, malah merangkumi kerja kebajikan,” katanya.
Mukkriz berkata, penduduk di negeri tersebut ‘mengeluarkan’ secara purata sebanyak hampir 1,400 tan sampah setiap hari dan ia boleh meningkat kepada 1,800 tan pada hari perayaan.
Justeru beliau berharap pelaksanaan pengasingan sisa di punca yang akan dilaksanakan pada September ini dapat dipraktikkan oleh seluruh rakyat Kedah dalam meningkatkan kadar kitar semula.
Di samping itu, pelaksanaan tersebut yang akan bermula serentak di seluruh negara juga bakal mengurangkan jumlah sisa pepejal yang perlu dilupuskan di tapak pelupusan di setiap negeri.
Beliau juga berharap usaha dijalankan bersama-sama bagi menjadikan Kedah negeri pertama mencapai status sifar aduan dalam aspek kebersihan persekitaran.
– Agensi/Mynewshub/HAA