SINGAPURA – Ketika rakyat Singapura kini dilanda ‘demam’ pilihan raya umum (PRU) republik tersebut yang bakal diadakan pada bila-bila masa sahaja, tiba-tiba ada juga pihak tidak bertanggungjawab buat cerita lawak.
PRU ke-17 sebenarnya perlu diadakan selewat-lewatnya awal 2017 setelah mandat lima tahun pemerintahan sedia ada berakhir, namun ramai penganalisis mengandaikan proses demokrasi itu akan berlangsung pada tahun ini.
Ia berikutan tindakan parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (Petir atau PAP) giat mengumumkan nama calon bagi semua kawasan kerusi pilihan raya sejak berakhirnya sambutan Hari Kebangsaan ke-50 pada 9 Ogos lalu.
Lazimnya, parti pengasas DAP di Malaysia itu hanya akan berbuat demikian apabila yakin jentera pilihan raya mereka sudah dalam keadaan bersiap sedia dan sebagai isyarat Parlimen Singapura akan dibubar tidak lama lagi.
Secara kebetulan, Jabatan Pilihan Raya Singapura (ELD) sudah pun mewartakan persempadanan semula kawasan politik di republik itu untuk PRU edisi ke-17 dengan 89 kerusi, tambahan dua lagi berbanding PRU pada 2011 lalu.
Baca: Naib Presiden Eksekutif Maybank Calon PAP PRU Singapura

Malahan ELD sudah lengkap mewartakan jumlah daftar pemilih sebanyak 2,460,977 pengundi manakala akhbar The Straits Times yang dimiliki pemerintah telah mewujudkan laman web khas PRU berkenaan iaitu GE 2015.
Ditambah mood ceria warga Singapura selepas bergembira merayakan sambutan Jubli Emas kemerdekaan selain pencapaian terbaik Sukan SEA sebagai tuan rumah, ramai menjangkakan PRU kali ini akan dibuat lebih awal.
Malangnya, keterujaan menjelang PRU itu menjadi kecoh pada Sabtu apabila ramai pengguna netizen tempatan menerima berita tarikh penetapan proses pemilihan tersebut yang konon disahkan oleh pihak ELD sendiri.
Panik dengan berita palsu itu, laman web pemerintah gov.sg segera menafikan khabar angin yang pantas tersebar di media sosial dan aplikasi sembang seperti WhatsApp bahawa tarikh bagi PRU akan datang sudah diumumkan.
Lucunya ada beberapa pesanan berbeza, kesemuanya mendakwa bahawa ELD menetapkan 1 September sebagai Hari Penamaan Calon, 11 September sebagai Hari Bertenang dan 12 September sebagai Hari Pengundian.
Baca: Insafi Kisah Nasib Umat Melayu Islam Di Singapura

Tulisan di bawah bahagian ‘Factually’ menerusi laman gov.sg menyatakan: “Satu perkara adalah pasti – apabila writ PRU dikeluarkan oleh ELD, baharulah anda akan mendengarnya terlebih dahulu di laman gov.sg.
“Sehubungan itu pihak kami boleh mengesahkan bahawa pemerintah Singapura tidak mendengar apa-apa lagi!” kata kenyataan laman rasmi tersebut yang dipetik stesen penyiaran milik pemerintah, Channel NewsAsia.
Menjelaskan proses perjalanan PRU itu dengan lebih lanjut, gov.sg menegaskan tarikh penamaan calon hanya akan diumumkan apabila Parlimen sudah pun dibubarkan dan writ pilihan raya dikeluarkan secara rasmi.
Menurut peraturan di bawah Perlembagaan Singapura pada kebiasaannya, Hari Penamaan Calon akan diadakan tidak kurang lima hari dan mesti tidak boleh lebih daripada sebulan, setelah tarikh writ tersebut dikeluarkan.
Selepas itu, apabila semua borang pencalonan dikemukakan dan ada pertandingan, Pegawai Pilihan Raya Kawasan akan mengeluarkan notis pilihan raya serta mengumumkan tarikh Hari Pengundian. – Agensi/Mynewshub/HAA

