BEIJING – Ganasnya pelayan lelaki di restoran Mr. Hot Pot di China ini. Jika tidak masakan dia sanggup mencurahkan air panas yang menggelegak ke atas seorang wanita dan kemudian menghentak kepala wanita itu ke lantai.
Semuanya gara-gara lelaki dikenali sebagai Zu itu tidak puas hati dengan pelanggan yang bernama Lin, 29.
Keadaan itu menyebabkan mangsa mengalami lecur di bahagian muka, belakang dan leher. Doktor juga terpaksa membalut luka tersebut bagi mengelakkan jangkitan.
Menurut saksi, ketika kejadian Zu sedang makan bersama keluarganya di restoran itu, dua hari lalu. Dia kemudian bergaduh dengan Lin mengenai air dalam periuk panas.
Marah dengan keadaan terbabit, Zu telah ke dapur sebelum keluar membawa satu bekas mengandungi air yang mendidih dan kemudian mencurahnya ke atas muka dan badan Lin.
Selepas itu, Zu telah menarik wanita terbabit ke belakang serta bertindak ganas dengan menghentak kepalanya ke bucu kaunter dan lantai.
Dua wanita yang kebetulan makan di situ telah berlari mendapatkan Lin untuk memberikan bantuan dan cuba menarik Zu daripada terus menyerangnya.
Meskipun ketika itu enam orang cuba menghalang Zu, namun dia masih cuba menerkam ke arah wanita terbabit. Zu telah ditangkap dan dia juga mengaku kepada polis melakukan perbuatan berkenaan.


