Ia hanya bangsal buruk yang hanya menunggu masa untuk rebah. Namun tahukah anda ia merupakan bangsal termahal di dunia dengan harga pasarannya hampir mencecah £1 juta.
Walaupun telah usang dan buruk, tetapi ia tidak menghalang ejen hartanah untuk menetapkan harga tersebut.
Ia bukan hanya disebabkan bangsal ini terletak di atas tanah seluas dua ekar tetapi pihak berkuasa telah memberikan kebenaran untuk pembinaan rumah banglo enam bilik yang direka oleh arkitek terkenal, Sir Terry Farrel.
Tanah itu terletak di kawasan Goudhurst di Kent dan ejen hartanah yang terlibat dalam penjualan tanah itu adalah Weald Property.
Syarikat itu menyifatkan tanah tersebut terletak dalam plot pembangunan yang jarang mendapat kelulusan awal untuk pembinaan sebuah banglo.
Sesiapa sahaja yang membeli plot tanah itu akan menyaksikan nilai hartanah mereka naik mencanak seperti roket dengan nilai anggaran £2.5 juta.
“Saya tidak percaya bahawa bangsal ini adalah yang termahal di Britain, sedangkan ia kelihatan akan roboh apabila ditiup angin,’’ kata salah seorang penduduk di situ. – MYNEWSHUB.CC

