ALOR SETAR – Bangga! Itulah perasaan yang dapat digambarkan oleh Wira Ady Ikhlas Mohd Akmal apabila berkongsi tarikh hari jadinya dengan Hari Kebangsaan yang jatuh pada 31 Ogos setiap tahun.
Pelajar Sekolah Kebangsaan Semeling, Sungai Petani itu menyambut hari jadinya yang ketujuh dengan menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Dataran Balai Besar, hari ini.
Anak sulung daripada tiga beradik yang dilahirkan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, bangga kerana berkongsi tarikh lahir dengan hari bersejarah negara dan bersemangat melihat perarakan ini buat kali ketiga.
“Saya seronok kerana dapat menyambut hari lahir ketujuh tahun di sini. Lebih bangga kerana saya memakai pakaian yang diperbuat daripada Jalur Gemilang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ayahnya, Mohd Akmal Fauzi, 33, berkata mereka sekeluarga tiba seawal 8 pagi dan setia menunggu walaupun hujan turun lebat sebelum bermulanya majlis perarakan.
“Anak cukup gembira apabila menyarung baju yang diperbuat daripada Jalur Gemilang. Tidak sampai sehari untuk menyiapkan baju dan hanya memakan kos RM12 untuk harga bendera,” kata beliau.
Mohd Akmal berkata beliau membawa anak-anaknya menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan memupuk semangat sayangkan negara dan ia akan dijadikan acara tahun bagi mereka sekeluarga. – BERNAMA

