PELAKON popular, Yana Samsudin dan suaminya, Fadzil Zahari menjadi perbualan hangat netizen selepas tindakan mereka membersihkan tandas sebuah stesen minyak tempat rehat dan rawat (R&R) Sungai Perak, baru-baru ini menjadi viral di media sosial.
Tindakan pasangan selebriti ini sekali gus mendapat pujian ramai yang menyifatkan apa dilakukan Yana dan suami adalah sikap mulia dan bertanggungjawab yang perlu dicontohi.
Yana yang memuat naik status di laman Facebooknya turut meluahkan rasa tidak puas hati  terhadap pengurusan stesen minyak R&R berkenaan yang bukan sahaja tidak mempedulikan kebersihan tandas malah gagal meletakkan sebarang notis menyatakan tandas tersebut tidak mempunyai bekalan air.
Seorang pengguna Facebook, Zeezah Jamil yang turut berada di kawasan kejadian mengakui dia melihat sendiri gelagat Yana dan suami yang sanggup menarik hos pili bomba untuk membersihkan tandas tersebut walaupun pada awalnya dihalang oleh seorang pekerja.
Bukan itu sahaja, Yana dan suami dikatakan turut membeli beberapa botol air mineral untuk kegunaan orang awam yang beratur panjang untuk menggunakan tandas tersebut.
Bercakap kepada Berita Harian, Yana berkata tidak sangka tindakannya membersihkan tandas itu menjadi viral apatah lagi mempunyai niat ingin menunjuk-nunjuk.
“Tidak timbul istilah ingin menunjuk-nunjuk kebajikan yang dibuat kerana apa yang kami lakukan adalah seikhlas hati. Saya sendiri tidak memuat naik gambar ketika suami membersihkan tandas wanita yang kotor kerana ada najis itu.
“Saya sebenarnya sedang beratur hendak menggunakan tandas, namun hidung saya terbau sesuatu yang sangat busuk. Malah, saya menutup hidung menggunakan tudung saya kerana tidak tahan dengan bau itu.
“Saya difahamkan air tiada dan ia menyukarkan lagi pengguna untuk menggunakan tandas. Saya meminta suami membelikan air mineral beberapa botol dan ada antaranya saya gunakan untuk menjirus di lantai tandas itu.
“Selepas selesai menggunakan tandas, saya dan suami mencari hos dari luar untuk membersihkan najis di dalam tandas itu. Namun, kecoh seketika apabila pekerja stesen minyak itu menghalang kami menarik hos itu,” jelas Yana.
Tahniah Yana dan suami.. ramai netizen meluahkan rasa kagum terhadap peribadi dan sifat ikhlas yang ditonjolkan dan bagi kami pasangan ini memang layak dipuji.
– MYNEWSHUB.CC
Oleh: CARRIE
https://www.youtube.com/watch?v=VlaUfiEcHfIÂÂ