PENGACARA dan pelakon Qi Razali telah pun mendedahkan isi hatinya baru-baru ini ingin memperisterikan pelakon, Nelydia Senrose secepat mungkin.
Bagaimanapun, mereka berdua memilih untuk tidak terlalu mendedahkan kisah percintaan sekali gus membuatkan ramai tertanya-tanya sejauh mana kebenaran perancangan berkahwin Qi dan Nelydia.
Terbaharu, pengacara Destinasi Bajet ini mengakui keluarganya telah pun bertemu dengan ibu bapa Nelydia dan dia sudah mula melakukan persiapan perkahwinan secara perlahan-lahan.
“Benar seperti yang Nelydia beritahu sebelum ini, selepas ibu bapanya pulang daripada umrah keluarga kami telah pun berbincang antara satu sama lain. Tetapi masih belum ada apa-apa yang pasti kerana perkahwinan bukan perkara main-main.
“Apabila semua sudah ditetapkan, kami berdua tidak akan sembunyikan berita gembira.
“Seperti pasangan lain yang sudah bersedia ke arah gerbang perkahwinan, kami ada pergi ke kedai-kedai emas untuk melihat cincin. Tetapi rasanya, itu bukan satu perkara yang perlu dihebahkan. Semua pasangan bercinta dan berniat mahu kahwin pasti melakukan perkara serupa,” ujar Qi.
Apa pun semoga urusan Qi ingin menyunting Nelydia sebagai suri hidupnya berjalan lancar dan dipermudahkan. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: CARRIE
Sumber: Roti Kaya
