JOHOR BAHARU – Peranan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Rukun Tetangga akan diperkasa dan diperbanyakkan di Johor dalam usaha membanteras jenayah, sekali gus mewujudkan persekitaran yang selamat dan aman.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya turut bersedia menambah peruntukan bagi tujuan berkenaan.
“Kami sedia memberi tambahan kepada peruntukan sedia ada bagi mengukuhkan keeratan sosial sambil memastikan keselamatan komuniti,” katanya pada majlis iftar bersama ketua peronda SRS dan penyerahan peralatan SRS di sini, Rabu malam.
Sebelum ini, Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan RM900,000 bagi tujuan tersebut.
Beliau berkata peruntukan itu diharapkan dapat membantu SRS menyediakan peralatan rondaan bersesuaian dengan peranannya.
“Fungsi SRS perlu diperluaskan dengan pelbagai kempen kreatif agar masyarakat mahu menawarkan diri menjadi sukarelawan dan Agen Keselamatan Komuniti,” katanya.
Mohamed Khaled turut berharap lebih banyak SRS dapat diwujudkan di semua daerah bagi memastikan masyarakat hidup aman, sekali gus menyuburkan semangat bermuafakat.
Beliau berkata SRS merupakan alat penting untuk membasmi segala bentuk jenayah dan pencerobohan serta mewujudkan kesedaran menjaga keselamatan sebagai tanggungjawab bersama.
“Masyarakat perlu sedar peranan membanteras jenayah tidak hanya digalas oleh pasukan keselamatan semata-mata,” katanya menambah semua anggota masyarakat harus mengembleng tenaga bagi mengekang pencerobohan dan ancaman terhadap keselamatan dan harta benda. – BERNAMA