KUALA LUMPUR – PAS Wilayah Persekutuan menyokong penuh keputusan Majlis Syura Ulama parti itu bahawa PAS membatalkan segala bentuk kerjasama dengan DAP.
Ketua Penerangan, Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan, Nazmi Nik Din berkata, jika kerjasama dengan DAP diteruskan bermakna PAS telah mengkhianati Islam.
“PAS yakin kemenangan (pilihan raya) adalah milik mutlak Allah S.W.T. Ia adalah teras akidah dan kepercayaan kami yang tidak akan mungkin sama sekali boleh digoyahkan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Nazmi berkata, PAS bagaimanapun yakin bahawa rakyat akan terus memberi kemenangan kepada parti untuk untuk mempertahankan prinsip dan perjuangan Islam di Malaysia.
Majlis Syura Ulama PAS semalam membuat keputusan bahawa hubungan tahaluf siyasi atau kerjasama politik parti itu dengan DAP terbatal.
Setiausahanya, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dipetik berkata, keputusan itu dibuat kerana DAP cuba mencampuri urusan akidah Islam oleh parti itu. – MYNEWSHUB.CC