SEREMBAN – Dua premis yang dijadikan sebagai asrama pekerja binaan di Kemayan Square di sini diserbu pihak berkuasa baru-baru ini kerana melakukan penyambungan bekalan air bersih secara haram.
Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) dalam satu kenyataan media memberitahu, premis itu diserbu sekumpulan anggota Sains dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada 14 Julai lalu.
“Serbuan dijalankan pada pukul 11 pagi. Ketika serbuan di lokasi, pihak penguatkuasa mendapati penghuni premis telah melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip mudah lentur bersaiz 13mm.
“Air yang diperolehi daripada penyambungan tidak sah itu didapati digunakan untuk aktiviti harian kedua-dua penghuni premis,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, pegawai penguatkuasa Sains yang menjalankan ujian klorin di lokasi berkenaan menemui bukti bekalan air dipremis itu adalah air terawat milik Sains.
Justeru, kata kenyataan itu, SPAN bertindak menyita paip mudah lentur dipremis tersebut sebagai bahan bukti untuk tindakan lanjut.
Jelas kenyataan itu, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 yang memperuntukan denda RM50,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.
Sains dalam pada itu memberi jaminan akan terus mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan ke atas kegiatan curi air di seluruh Negeri Sembilan sama ada oleh pihak komersil mahupun domestik.
“Tindakan tegas ini merupakan salah satu langkah berterusan dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil atau pun Non Revenue Water (NRW),” kata kenyataan itu,
Sehubungan itu, Sains meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan sebarang kes curi air menghubungi talian bebas tol 1-800-88-6982.
“Setiap maklumat peribadi pemberi maklumat akan dirahsiakan oleh pihak Sains,” kata kenyataan itu. – MYNEWSHUB.CC