MELAKA – Kerajaan Negeri Melaka akan menganjurkan Pesta Durian Melaka 2015 di Ladang Buah-buahan Tropika Melaka (MTFF), Sungai Udang di sini dari 24 hingga 26 Julai.
Exco Pertanian Dan Pembangunan Usahawan Datuk Hasan Rahman berkata lebih 30,000 pengunjung dijangka memeriahkan pesta bermula dari pukul 10 pagi hingga 7 malam itu.
Beliau berkata pesta itu bertujuan untuk memeriah serta mempromosi pelbagai jenis buah durian kepada masyarakat termasuk pelancong asing dan domestik.
“Pelbagai jenis buah durian akan dijual dan dipamerkan sepanjang pesta ini dan Musang King antara jenis durian yang menjadi keutamaan kita di samping jenis durian lain yang akan diperkenalkan,
“Durian ini kita datangkan khas dari kawasan sekitar Melaka yang mana kita ambil dari setiap kawasan Dewan Undangan Negeri, malah durian dari pengusaha luar Melaka juga turut dipamerkan dan dijual,” katanya kepada pemberita di MTFF di sini.
Hasan berkata selain menikmati pelbagai jenis durian, pengunjung juga dapat menikmati pelbagai juadah dan produk makanan berasaskan durian seperti aiskrim durian, putu bambu durian dan cendol durian.
Beliau berkata pelbagai acara menarik disediakan kepada pengunjung sepanjang pesta berlangsung antaranya pertandingan teka berat raja buah, pertandingan ‘Selfie: Syoknya Pesta Durian Melaka’, program jom kacau dodol durian dan pertandingan memasak.
“Kita juga akan adakan pertandingan makan durian terbanyak dan kita juga ada masa riang ria durian yang mana kita ada menjual kupon berharga RM20 kepada pengunjung sepanjang pesta berlangsung,” katanya.
Beliau berkata pesta julung kali diadakan itu akan menjadi satu lagi produk pelancongan Melaka dan akan dijadikan acara tahunan negeri ini. – BERNAMA