GEORGE TOWN – Pastinya inilah berita yang akan memudahkan ramai penyokong pakatan pembangkang lebih memahami konsep gabungan longgar itu: “Bersepakat untuk tidak bersepakat!”
Ada dilaporkan terkesima khasnya pemimpin Pas pro-DAP yang tentunya tidak menjangka parti Islam itu tergamak ‘melukakan’ sekutu mereka sendiri dan mungkin tidak tahu hendak letak muka di mana selepas ini.
Bayangkanlah selama ini mereka begitu bangga menggelarkan pemimpin DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kononnya setaraf dengan martabat amirul mukminin Khalifah Umar Abdulaziz.
Namun tindakan DAP membubarkan langsung Pakatan Rakyat (yang tidak pernah pula daftar dengan Pendaftar Pertubuhan selama ini) ekoran Muktamar Pas memutuskan hubungan dengan DAP mencetuskan polemik baharu.
Baca: Usah Habaq Nama Pakatan Laa Ni Di Penang Nooo…

Kerajaan DAP Pulau Pinang malah bertindak lebih jauh ‘membalas dendam’ dengan memecat ramai pemimpin Pas negeri itu yang dilantik dalam pentadbiran kerajaan tempatan kerana mereka berdegil enggan meletak jawatan.
Ironi, wakil tunggal Pas dalam Dewan Undangan Negeri, Salleh Man yang juga ADUN Permatang Pasir terselamat apabila kekal sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang setelah berikrar menyokong kerajaan DAP.
Susulan drama sensasi itu, Badan Perhubungan Pas Pulau Pinang akhirnya bertindak menyaman kerajaan DAP tersebut ekoran pemecatan wakil parti itu dalam kerajaan negeri yang didakwa dibuat tanpa mengikut prosedur.
Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Fauzi Mohd. Yusof yang baharu dilantik menggantikan tokoh bukan ulama, Mohamad Sabu berkata, pihaknya sudah mengeluarkan arahan kepada peguam untuk memfailkan saman itu.
Baca: Padah Sebut Nenek Rasis: Guan Eng Kena Bayar RM1/2 Juta

“Kami tidak ada masalah kalau pemecatan dilakukan mengikut prosedur operasi standard, tetapi mereka ini (Kerajaan DAP Pulau Pinang) ikut suka hati sahaja pecat wakil kami tanpa kemukakan sebarang alasan.
“Mereka baru aje mentadbir negeri ini dua penggal tetapi sudah buat kecoh. Ini menunjukkan yang Kerajaan DAP Pulau Pinang sebenarnya gagal menjadi pentadbir yang baik. Jangan ambil mudah dengan Pas.
“Kami pun orang politik juga. Jangan ingat mereka (DAP) boleh buat ikut sesuka hati, apa-apa pun mereka kena juga fikir dahulu risikonya,” tegas Fauzi yang dipetik laman portal berita AgendaDaily.
Kenyataan berani itu sebagai reaksi selepas Kerajaan DAP Pulau Pinang bertindak zalim telah mengeluarkan surat pemberhentian kerja kepada ramai anggota Pas pro-ulama yang dilantik berkhidmat di negeri tersebut.
Notis pemberhentian secara serta-merta yang ditandatangani sendiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus dan salinannya telah dihantar kepada Setiausaha Sulit kepada Ketua Menteri Pulau Pinang.
Salah seorang pemimpin Pas Pulau Pinang, Fadzil Kemi yang berkhidmat sebagai Pegawai Penerangan Gred S41 bertaraf kontrak, antara mereka yang telah menerima surat pembuangan kerja tersebut pada awal bulan lalu.
Sebelum ini, Guan Eng telah meminta kepimpinan baharu Pas yang dikuasai tokoh ulama; agar segera mengarahkan semua ahlinya untuk meletak jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri DAP Pulau Pinang.
Sehingga kini, dua orang wakil Pas dalam majlis bandaran dipecat DAP susulan usul memutuskan hubungan dengan DAP berjaya diterima sebulat suara tanpa bahas pada Muktamar Tahunan ke-61 Pas, baru-baru ini.
Manakala bekas timbalan presiden Pas, Mohamad Sabu selain pemimpin parti itu, Mujahid Yusof Rawa dan Ustaz Rosidi Hussain berundur secara sukarela selepas muktamar tersebut berakhir. – Agensi/Mynewshub/HAA

