Sample Page Title

KUALA LUMPUR – Lihatlah di sekeliling, sama ada di bandar atau di desa, rakyat Malaysia berbilang kaum tampil dengan pakaian yang pelbagai.

Berbicara tentang pakaian tradisional, tidak semua orang Melayu berbaju kurung atau baju Melayu, kaum Cina tidak memakai cheongsam atau samfoo, kaum India pun tidak sentiasa memakai sari atau kurta, begitu juga kaum-kaum lain.

Pakaian mereka seringkalinya berdasarkan masa dan situasi. Umpamanya ramai yang berpakaian kasual terutamanya baju-T serta jeans untuk bersantai, keluar membeli-belah atau kegiatan harian, berpakaian kemas jika bekerja di pejabat manakala pakaian tradisional pula dipakai ketika menghadiri pelbagai majlis.

Tidak dinafikan pemakaian pakaian tradisional telah semakin berkurangan, namun dalam keadaan tertentu, masyarakat berbilang kaum di negara ini masih memakai pakaian tradisional masing-masing terutama ketika menghadiri kenduri, majlis-majlis rasmi atau kematian.

Membeli sekurang-kurangnya sepasang pakaian tradisional yang baharu bagaikan satu kemestian ketika menyambut perayaan-perayaan utama seperti seperti Aidilfitri, Aidiladha, Tahun Baru Cina dan Deepavali.

Mungkinkah mereka berbuat demikian atas kesedaran bahawa pakaian tradisional yang melambangkan identiti tersendiri masyarakat majmuk di negara ini perlu dipertahankan atau sekadar kebiasaan?

PERPADUAN KAUM

Presiden Pakar Malayalee Malaysia Dr R. Nambiar (Eng:He) berkata selain pakaian tradisional pelbagai kaum usaha mengalakkan pemakaian baju kebangsaan juga boleh dijadikan antara satu cara bagi menyuntik semangat perpaduan rakyat Malaysia.

Beliau berpendapat persefahaman, sikap saling bertolak-ansur dan hormat-menghormati dapat mengeratkan hubungan sekaligus mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum.

Sehubungan itu, tegasnya, memahami budaya, agama dan adat resam setiap kaum termasuk di Sabah dan Sarawak amat penting bagi mengelak sebarang provokasi yang boleh memecah-belahkan rakyat dan menganggu-gugat keharmonian negara ini.

“Tidak kira Melayu, Cina, India atau masyarakat pelbagai etnik Sabah dan Sarawak, masing-masing mempunyai pakaian tradisional masing-masing. Cara paling mudah untuk saling menghargai adalah dengan mengenakan pakaian kaum lain.

“Kita pasti teruja apabila melihat rakan yang berbangsa India memakai baju Melayu atau baju kurung yang bukan sahaja pakaian tradisional Melayu malah pakaian kebangsaan negara ini kerana ia memperlihatkan penerimaan kaum lain terhadap budaya Melayu,” katanya.

UBAH PERSEPSI

Berhubung kekeliruan mengenai pakaian tradisional dan upacara keagamaan, beliau berkata ia sepatutnya tidak menjadi kesalahan sekiranya seseorang itu
memakai pakaian tradisional kaum lain kerana ia hanya sebagai lambang tradisi sesuatu etnik atau kaum sahaja.

“Persepsi mengaitkan agama dengan pakaian tradisional seperti kurta, sari dan cheongsam adalah tidak tepat dan tanggapan itu harus dibuang jauh daripada pemikiran rakyat kita,” kata Nambiar, yang juga pensyarah Psikologi dan Kaunseling Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

Beliau percaya apabila semangat perpaduan disuntik ke dalam diri setiap rakyat, ia sekaligus akan memupuk hubungan silaturahim dan mencambah aura muhibah dalam jiwa mereka.

Nambiar menjelaskan erti silaturahim adalah persamaan yang wujud antara kaum yang boleh mematahkan sikap prejudis serta tanggapan stereotaip terhadap kaum lain.

“Keamanan dan kemakmuran negara ini adalah hak rakyat Malaysia. Dalam menjaga ‘harta’ ini perlu kesepakatan semua pihak demi keharmonian negara,” katanya.

BANGGA BERBAJU KURUNG


Baju kurung sering mendapat tempat di kalangan kaum lain di Malaysia kerana ia selesa dipakai, selain merupakan pakaian tradisional Melayu ia juga pakaian kebangsaan.

Antara yang gemar memakai baju kurung ialah Penolong Pegawai Undang-Undang di Jabatan Bantuan Guaman Ipoh, Perak Ong Phaik Hoon, 43.

Mengakui tidak kekok memakainya, beliau berpendapat seseorang yang berpakaian baju kurung bukan sahaja akan kelihatan anggun malah lebih sopan.

Berhubung minatnya berbaju kurung, wanita berasal dari Taiping, Perak itu berkata baju kurung sangat selesa dipakai kerana potongannya tidak ketat terutamanya yang diperbuat daripada kain yang tidak panas.

“Saya mempunyai lebih 10 pasang baju kurung sebagai koleksi dan saya paling suka adalah baju kurung pesak dan kurung Riau tetapi kurang berminat kurung moden.

“Selalunya saya pergi membeli baju kurung dengan kawan-kawan Melayu. Saya teruja bila pilih baju kurung kerana semuanya cantik-cantik,” katanya sambil ketawa dan mengakui bangga memakainya.

Lebih mengembirakannya adalah apabila suaminya turut memberi sokongan dan pujian setiap kali beliau mengenakan baju kurung.

Turut meminati baju kurung ialah pekerja swasta S. Muthammah 29, yang percaya penting bagi rakyat negara ini untuk saling mengenali demi kesejahteraan dan keharmonian negara.

“Saya berbangga dengan Malaysia yang dipandang unik oleh masyarakat dunia kerana kita boleh hidup aman damai walaupun berbilang bangsa, agama dan budaya,” kata anak kelahiran negeri Johor itu.

PAKAIAN TRADISIONAL SEMARAKKAN 1MALAYSIA

Sementara itu, Nor Saifullah Ramada Syahruddin, 29, yang gemar memakai pakaian tradisional kaum lain pula mengakui berbuat demikian sebagai tanda menghormati budaya, tradisi dan cara hidup mereka.

Beliau, yang fasih berbahasa Mandarin, berkata kecintaannya terhadap budaya kaum lain memperkukuh persefahaman terhadap masyarakat majmuk di negara ini.

“Saya sendiri mempunyai beberapa helai samfoo dan kurta, saya memakainya apabila menghadiri majlis-majlis rasmi umpamanya majlis perkahwinan.

“Uniknya setiap pakaian ini terdiri daripada fabrik berbeza, malah ada yang dihiasi manik dan batuan kristal,” katanya.

Menurut Nor Saifullah, walaupun memakai pakaian tradisional bukan satu kewajipan namun ia menyerlahkan identiti kepelbagaian budaya dan kaum, justeru menyemarakkan semangat 1Malaysia di kalangan rakyat negara ini.

Selain tiga individu tersebut, rakyat Malaysia memang terbiasa dengan suasana yang pelbagai umpamanya wanita dan lelaki Melayu gemar memakai jubah, tidak kurang juga pakaian Salwar Khameez (baju panjang dan seluar sepertimana dipakai di India dan Pakistan) yang potongannya sesuai dengan masyarakat Islam.

Nyata Phaik Hoon, Muthammah dan Nor Saifullah yang gemar memakai pakaian tradisional kaum lain tetap kekal dengan nama, bangsa agama dan budaya
masing-masing, bertutur dalam bahasa kaum sendiri selain bahasa kebangsaan. – BERNAMA

Kategori

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Terkini

Kanada Berisiko Dilanda Taufan Fiona Hari Ini

KANADA: Hujan lebat dan angin kencang yang dibawa Taufan Fiona sudah melanda Bermuda yang...

Varian Baharu Omicron, BF.7 Dikenal Pasti

WASHINGTON – Saintis-saintis menemui satu lagi varian terbaharu Covid-19 yang bermutasi menjadi lebih kebal...

Bayi Perempuan Baru Lahir Ditinggalkan Di Atas Jalan Raya

KENINGAU: Seorang bayi perempuan yang baru lahir dan masih bertali pusat ditemui ditinggalkan di...

Lelaki Panah Anjing Hingga Mati Dicari Polis

PETALING JAYA: Polis sedang mengesan individu yang bertindak membunuh anjing terbiar dengan menembaknya dengan...

Antara Setiakawan Tok Mat Dan “Poster Boy” BN

Tiada siapa boleh mempertikaikan semangat setiakawan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad...

‘Datin’ Isteri Bekas Ahli Perniagaan Maut Dibunuh

SEREMBAN – Seorang wanita warga emas bergelar ‘Datin’ maut selepas dipercayai bergelut dengan suspek...

PM Cipta Sejarah Ucap Dalam BM Pada Perhimpunan PBB

New York : Enam puluh lima tahun selepas seorang pemimpin negara bernama Ismail mencipta...