GEORGE TOWN – Kerajaan bercadang membuka sebuah ladang tanaman tumbuhan herba stevia untuk digunakan secara komersil di negara ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.
Beliau berkata tumbuhan itu mempunyai potensi untuk berkembang di negara ini dan mudah ditanam berikutan penerimaan cahaya matahari yang cukup selain cuaca panas dan kering.
Katanya usaha itu juga akan mengurangkan import dari China bagi menampung keperluan pengeluar minuman ringan yang semakin beralih kepada penggunaan stevia bagi menggantikan gula yang memberi kesan buruk jika diambil secara berlebihan.
“Sepertimana kita tahu gula adalah penyumbang besar kepada penyakit diabetes. Alangkah baik sekiranya kita beralih kepada penggunaan stevia kerana rasa minuman itu tidak berubah sekaligus baik untuk kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dan Komuniti, Balik Pulau sini, Rabu malam.
Stevia merupakan pemanis semulajadi yang tidak mengandungi kalori dan boleh mengurangkan kadar gula dalam darah, melawaskan kencing, menurunkan tekanan darah dan boleh membantu mengurangkan berat badan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Lai Fah Hin dan Hilmi menyampaikan sumbangan duit raya dan hamper kepada 66 anak yatim, ibu tunggal, kanak-kanak istimewa, pesara polis dan pekerja am. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=eKJqr0rxSic

