ALOR SETAR – Kerajaan negeri bercadang untuk mewujudkan bazar niaga khusus untuk golongan muda di sekitar Dataran Balai Besar di sini dalam tempoh terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Warisan Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata bazar tersebut akan beroperasi di sekitar dataran itu dan di kaki lima di Balai Seni Negeri.
Beliau berkata bazar yang menjual pelbagai produk seperti kraftangan, makanan dan pakaian akan dibuka setiap hujung minggu sahaja iaitu pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Katanya selain peniga daripada golongan muda, kelainan bazar tersebut ialah produk yang dijual dihasilkan sendiri oleh mereka yang memaparkan identiti negeri jelapang padi.
“Bazar ini akan dapat tarik pelbagai golongan untuk berkunjung ke dataran yang terletak berhadapan dengan Masjid Zahir setiap hujung minggu. Pengunjung boleh dapatkan pelbagai barangan yang memaparkan identiti negeri ini,” katanya kepada Bernama di sini.
Mohd Rawi berkata wujudnya bazar itu dapat mempromosikan negeri ini kepada masyarakat luar yang berkunjung ke negeri ini terutamanya pada musim cuti sekolah.
Beliau berkata pihaknya akan memohon kepada pengurusan Balai Seni Negeri untuk melanjutkan waktu lawatan bagi membolehkan pengunjung melawat balai seni itu pada waktu malam.
Katanya sebelum ini balai seni hanya dibuka bermula pada 8 pagi hingga 5 petang sahaja, yang ada pengunjung tidak berpeluang untuk melawatnya pada waktu siang.
“Kita tahu anak muda tak berminat untuk melawat balai seni, tetapi dengan adanya program seperti bazar tersebut mereka akan turut mengambil peluang melawat balai itu,” katanya. – BERNAMA