PETALING JAYA – Hampir 20,000 pesakit masih menunggu untuk mendapatkan pelbagai jenis organ daripada penderma di negara ini.
Ketua Pengurus Klinikal di Pusat Sumber Transplan Nasional, Datin Dr. Fadhilah Zowyah Lela Yasin Mansor berkata daripada jumlah itu, pesakit buah pinggang merupakan penunggu organ paling tinggi iaitu 19,474 orang.
Ini diikuti lapan pesakit hati, masing-masing enam bagi pesakit jantung serta pesakit jantung dan hati, manakala empat pesakit paru-paru.
“Pesakit buah pinggang mencatat jumlah tertinggi kerana mereka masih bertahan dengan menjalani rawatan dialisis secara berjadual.
“Peningkatan penyakit itu disebabkan faktor pemakanan, gaya hidup serta kesan daripada pengambilan ubat-ubatan yang tidak disahkan Kementerian Kesihatan,” katanya selepas melancarkan laman media sosial Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau mengajak semua masyarakat di negara ini tanpa mengira latar belakang agama supaya mendaftarkan diri sebagai pengikrar penderma organ di laman sesawang http://www.dermaorgan.gov.my/.
Dr. Fadhilah Zowyah berkata bilangan pengikrar penderma organ di kalangan masyarakat Melayu turut mencatat peningkatan ketara selepas 6,211 orang atau 45.92 peratus daripada 13,524 orang mendaftar sebagai penderma organ bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
“Jumlah itu menjadikan penderma organ Melayu sehingga kini sebanyak 77,683 orang daripada keseluruhan 303,254 orang sejak kempen menderma organ diperkenalkan pada 1997,” katanya.
Tambah beliau, statistik itu membuktikan tahap kesedaran masyarakat terutamanya orang Melayu berhubung pendermaan organ semakin meningkat sekali gus memberi mesej penerimaan umat Islam semakin baik terhadap usaha menderma organ. – BERNAMA