BEIJING – Hiba apabila menyaksikan budak di China berusia 11 tahun ini yang menghidap cerebral palsy iaitu lumpuh, tidak boleh bercakap, berdiri atau pun makan.
Kehidupannya hanya di atas permukaan meja sebesar satu meter persegi.
Budak itu, dikenali dengan nama sebagai Shengli terpaksa melalui kesukaran berkenaan akibat kemiskinan hidup yang dilalui keluarganya.
Selepas dilahirkan, keluarganya tidak mampu mendapatkan rawatan perubatan untuknya lalu mereka membawanya pulang ke sebuah kampung di Jiangxi.
Bapanya terpaksa keluar bekerja untuk menyara keluarga manakala ibunya pula, Huang Junying mengalami masalah mental namun dia melakukan yang terbaik untuk anaknya itu.
Mereka terpaksa bergantung hidup kepada subsidi yang diberikan kerajaan dan terpaksa juga menjual sayur serta kayu api untuk menambah pendapatan.
Selain ibunya, tiga adik perempuan Shengli yang masih kecil juga membantu menjaga Shengli.
Malah adiknya yang berusia lapan tahun, Qingxiu yang baharu memulakan persekolahan, juga terpaksa memasak nasi dan memandikan abangnya itu setiap hari.
Cerebral palsy merupakan penyakit yang merosakkan sebahagian otak yang berfungsi untuk mengawal pergerakan, keseimbangan dan bentuk badan. – MYNEWSHUB.CC


