ORANGNYA berkulit cerah, kecil molek dan bila bercakap loghat utara yang pekat tak mampu disembunyikan. Sekilas pandang, penampilannya serba sederhana.
Bagaimanapun selepas lebih satu jam berkongsi masa dan mendengar kisah hidupnya, nyata beliau bukan wanita biasa-biasa. Tak ramai mampu berada di tempat wanita ini melainkan punyai semangat luar biasa.
Anak bongsu daripada lima beradik kelahiran Alor Setar, Kedah ini adalah lulusan Diploma Sains ITM (kini UiTM) Arau, Perlis sebelum menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Kejuruteraan Elektrik, Elektronik & Sistem di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sesuai pendidikan diterima, beliau bekerja dalam lapangan kejuruteraan sebaik tamat pengajian. Antara syarikat tempatnya sempat menimba pengalaman adalah Perwaja Steel.
Memiliki pemikiran yang tidak sealiran dengan wanita kebanyakan, Dato’ Ida Suraya Mustapha, 44, bagaimanapun tidak betah untuk terus makan gaji.
Maka, meskipun tanpa peluang kerja baharu beliau memutuskan untuk meletak jawatan. Sudah tentu, keputusan itu memeranjatkan keluarga.
“Semua terkejut dengan keputusan saya memandangkan banyak komitmen yang perlu dibayar saban bulan.
“Namun kekuatan diperoleh daripada ibu tercinta yang tak putus-putus mendoakan saya,” ujarnya.
Hanya berbekalkan kad kredit, beliau mengeluarkan wang tunai dan menggunakannya untuk mendaftar sebuah syarikat sendirian berhad. Tanpa modal, pergerakan menjadi terhad lantas peluang yang ada cuma menggunakan telefon untuk mendapatkan projek.
Berkat usaha gigih, beliau memperoleh satu projek kerajaan. Begitu pun modal diperlukan dan pihak bank yang menjadi harapan tak punya kepercayaan untuk meluluskan pinjaman yang dimohon. Hal ini membuatkan Dato’ Ida berasa amat kecewa hingga menitiskan air mata.
Bagaimanapun tak mahu putus asa, beliau menemui pengusaha hardware lalu menjalin kerjasama untuk memastikan projek yang diperoleh tetap berjalan walaupun keuntungan yang diraih menjadi sedikit.
Bertitik tolak dari situ, beliau yakin tiada apa yang mustahil di dunia ini jika diusahakan sungguh-sungguh. Menjalankan perniagaan tanpa modal, salah satu yang berjaya dibuktikannya.
Sejak itu juga, beliau tak lagi menoleh ke belakang. Bermacam-macam laluan sukar ditempuh termasuk tiga tahun baju raya tidak berganti hingga ditegur abang-abangnya.
Bagaimanapun, ada satu kisah luar biasa yang membuatkan penulis tambah kagum pada beliau. Ianya cerita bagaimana seorang wanita mampu memperoleh jaringan bisnes luar negara dalam dunia perniagaan yang dimonopoli kaum lelaki.
“Ada satu waktu saya cuma ada RM10,000 dan itulah yang saya bawa untuk satu misi bisnes yang penting di Ukraine.
“Sesampainya di sana salji amat tebal hingga paras betis. Sedangkan saya cuma pakai baju sejuk biasa sebab sangka musim sejuk baru bermula.
“Baju sejuk di sana pula terlalu mahal untuk dibazirkan dengan wang yang terhad jadi saya cuma mampu lilit selimut hotel pada tubuh sebelum ditutup dengan jaket yang ada.
“Ditambah kasut yang tak sesuai, saya terjatuh beberapa kali atas salji,” imbaunya.
Sesampai di bilik mesyuarat, semua mata terarah padanya. Dapat dibayangkan betapa terkejutnya ‘mat-mat saleh’ di sana bila melihat susuk seorang wanita kecil dan memakai tudung tersengih di muka pintu dengan baju lencun.
“Kesemuanya lelaki, cuma saya seorang wanita di situ. Selepas ‘dibuli’ sekejap mereka semua bertepuk tangan kerana kagum dengan kegigihan saya. Di situlah bermula bagaimana saya memperoleh networking di luar negara,” kata Dato’ Ida.
Kini syarikat yang ditubuhkan Dato’ Ida tanpa modal 14 tahun lalu, Oriented Prospect Active Link & Services (OPALS) berkembang cemerlang dengan 10 anak syarikat di bawahnya.
Bukan kisah di Ukraine sahaja bukti kegigihan beliau membangunkan syarikat hingga berjaya tetapi banyak lagi usaha yang telah ditaburkan. Sekian lama bekerja tujuh hari seminggu tanpa mengira waktu, sekarang sudah sampai masanya wanita besi ini mahu melakukan sesuatu yang merupakan minatnya pula.
SUKA BERGAYA
“Sejak kecil saya amat suka bergaya. Bila mak keluar bekerja, saya keluarkan kain dari almarinya dan acukan pada badan lalu berangan seperti puteri,” kata Dato’ Ida sambil tertawa.
Walaupun keluarga bukanlah orang senang, lahir sebagai satu-satunya anak perempuan daripada lima beradik memberikan kelebihan buat beliau.
Ibunya yang bekerja sebagai jururawat amat suka menghias satu-satunya cahayamata puteri yang ada dengan baju-baju cantik dan tak lokek berbelanja untuk membelikan Dato’ Ida baju berjenama dan terkini.
“Ketika remaja, menuntut di universiti hinggalah bekerja saya tak ketinggalan berfesyen. Malah bagi saya bergaya itu perlu ketika bergelar usahawan kerana ia meningkatkan keyakinan pada diri sendiri dan pelanggan yang hendak ditemui,” katanya.
Justeru dua tahun lalu, beliau membuka sebuah butik yang diberi nama Bianco Mimosa. Bagaimanapun ketika itu beliau tak mampu menguruskannya seratus peratus kerana masih sibuk dengan perniagaan.
“Baru sekarang saya punyai masa untuk menumpukan sepenuh perhatian pada butik ini.
“Lokasinya turut diubah dari Bangsar ke Sg Buloh, agar berada di bawah bumbung sama perniagaan sedia ada untuk memudahkan kerja saya,” ujar Dato’ Ida.
Jika sebelum ini Bianco Mimosa cuma menjual pakaian eksklusif buatan pereka, kini beliau memutuskan mahu memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat memakai jenama tersebut. Sebagai permulaan, koleksi sempena hari raya tak lama lagi bakal dikeluarkan dan dijual pada harga yang mampu dibayar kebanyakan golongan bekerja dewasa ini.
Walaupun begitu, ianya bukan petanda ada kompromi pada kualiti pakaian yang dikeluarkan. Malah penulis amat terkejut apabila melihat sendiri fabrik digunakan.
“Saya biasa menghadiri acara red carpet, pertunjukan fesyen serata dunia dan memakai pakaian jenama antarabangsa.
“Keseronokan melihat fesyen dan keselesaan mengenakan pakaian tersebut adalah sesuatu yang ingin saya kongsikan dengan orang ramai,” ujarnya.

Dari segi rekaan pula, Dato’ Ida banyak mendapat inspirasi daripada trend antarangsa namun mengakui ada antaranya belum begitu mendapat tempat di hati masyarakat kita.
“Saya dapati ada antara trend kurung raya misalnya, sudah bertahun-tahun mengitar gaya yang sama. Pereka fesyen tak dapat disalahkan jika itu yang diminta kebanyakan pelanggan,” katanya.
Enggan mengikut aliran semasa hanya kerana mengejar keuntungan, wanita fashion passionate ini nekad mengadaptasi ilham kombinasi fesyen antarabangsa dan Timur ke dalam rekaan Bianco Mimosa.
Tambah Dato’ Ida, perkembangan fesyen tempatan mungkin agak statik kerana tak banyak rujukan yang sampai selain faktor negara kita tak mempunyai empat musim seperti Eropah, di mana fesyen berubah setiap tiga hingga empat bulan.
Begitu pun beliau percaya, muda mudi kini semakin terbuka tentang gaya dan ianya bakal menyumbang kepada transformasi fesyen semasa tak lama lagi.
“Saya turut menerapkan elemen kejuruteraan dalam sesetengah rekaan. Memang niat saya mahu melakukan anjakan paradigma dalam dunia fesyen tempatan,” katanya bingkas bangun mengambil beberapa persalinan yang tergantung.
Beliau menunjukkan bagaimana tali kasut mendatangkan ilham rekaan bagi sehelai kurung manakala di balik susunan manik sepasang jubah, terselit zip yang dapat memudahkan wanita yang masih menyusukan anak.
Apa yang dapat dirumuskan, keistimewaan Bianco Mimosa adalah ianya dihasilkan seorang pereka yang mempunyai passion hinggakan harga jualan bagi sesetengah kurung koleksi rayanya agak tidak masuk akal.

Bayangkan, selepas membayangkan sehelai jubah dengan belahan tepi akan lebih ranggi dengan tambahan fabrik kulit, Dato’ Ida bergegas ke Cape Town bagi mendapatkannya. Fabrik lain pula ada yang diborongnya di Itali dan Paris selain Afrika Selatan.
“Bila ke luar negara misalnya Itali, saya amat gembira melihat orang berfesyen di mana-mana. Bagi saya ianya memberi impak pada personaliti seseorang itu.
“Kalau fesyen cuma dibuat untuk orang kaya, ia bermakna saya memberikan sumbangan cuma untuk golongan tertentu.
“Saya mahu semua orang mampu merasai keseronokan dan keselesaan memakai pakaian hand made.
“Saya gembira membayangkan ada yang berjaya dalam temuduga kerja atau dipuji cantik oleh suami kerana memakai pakaian Bianco Mimosa,” ujar Dato’ Ida.
LANCAR KOLEKSI RAYA 9 JUN
Bagi memastikan baju-baju dihasilkan dengan teliti dan berkualiti, Bianco Mimosa menggunakan 30 tenaga kerja di bengkel sendiri.
“Selepas koleksi hari raya saya bercadang untuk memperluaskan pakaian ready to wear untuk semua peringkat usia termasuk persalinan pejabat dan kasual yang didatangkan dalam semua saiz,” kata ibu kepada dua cahayamata, Mohammad Nur Adhli Ikram Dato’ Mohd Fauzi, 17, dan Mohammad Nur Amiruddin Dato’ Mohd Fauzi, 15, ini.
Walaupun masih menerima tempahan bagi persalinan custom made yang dicaj RM1,000 ke atas, Bianco Mimosa kini menawarkan pakaian hand made dengan rekaan eksklusif dan dihasilkan dalam jumlah terhad pada harga cuma RM150 hingga RM500.
Koleksi hari raya yang bakal dilancarkan Bianco Mimosa pada 9 Jun ini juga, dihasilkan dalam 15 warna berbeza dengan maksimum 25 pasang sahaja bagi setiap rekaan.
Nantikan update daripada Mynewshub yang akan memperincikan keistimewaan setiap kurung koleksi raya Bianco Mimosa selepas ini.
Percayalah, para wanita pasti terliur untuk memiliki sekurang-kurang sepasang untuk digayakan lebaran kelak! – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=U6bSKs2QLSI
https://www.youtube.com/watch?v=6Iq1hsnZpCM&feature=youtu.be
Oleh: REM RAMZI
Foto/Video: RIZA RAZAK

